KOTA KINABALU: Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pembangkang akan gagal pada pilihan raya akan datang jika masih diketuai kepemimpinan sama.
Beliau berkata, perubahan perlu dilakukan secara menyeluruh terhadap kepemimpinan yang ketika ini tidak menyatukan dan tiada arah.
“Kita berjaya memenangi pilihan raya lalu, dan kemudian hilang kuasa. Kenapa? (kerana) pertelingkahan dalaman.
“Kita cuba menyatukan rakyat tetapi tak ke mana kerana tiada arah yang jelas daripada pemimpin,” katanya selepas perhimpunan agung tahunan parti itu.
“Jadi, sebab itu perpaduan sangat penting, bukan hanya menyatukan pemimpin tetapi juga rakyat Malaysia. Ini yang paling penting.
“Saya tidak mahu merujuk kepada seseorang tetapi sudah tiba masanya untuk perubahan dalam kepemimpinan pembangkang, sesuatu yang sudah dinyatakan banyak parti komponen sebelumnya.”
Awal bulan ini, Ketua Whip Warisan Datuk Rozman Isli, yang juga Ahli Parlimen Labuan, meminta pemimpin pembangkang yang baharu dilantik supaya blok itu lebih kuat.
Rozman berkata, wujud ketidakpuasan hati dalam kalangan anggotanya terhadap kepimpinan dan hala tuju blok pembangkang yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, pembangkang “harus cukup berani” untuk melakukan perubahan itu supaya mencerminkan aspirasi sebenar rakyat Malaysia.
Katanya, rakyat memilih pembangkang pada PRU14 kerana perkara yang dekat dengan mereka seperti 1MDB, rasuah dan GST (cukai barang dan perkhidmatan).
Tetapi sekarang, pembangkang nampaknya tidak bersatu, dengan DAP malah membantu menjatuhkan kerajaan Perak (yang diterajui PPBM) baru-baru ini.
“Banyak yang kita perlu jelaskan kepada rakyat sebagai persiapan PRU15. Kita perlukan suntikan idea baharu kerana rakyat berdepan banyak masalah.
“Kita perlu sediakan keperluan dan keperluan itu untuk rakyat supaya mereka memutuskan kerajaan hari ini.
“Ada banyak perkara yang melemahkan kita … arah dan banyak lagi seperti ketika kita turun ke akar umbi, kita pergi secara individu dan bukan sebagai satu kumpulan.
“Bukan soal siapa yang dapat SD (akuan berkanun), itu tidak penting, tetapi persoalan tentang apa yang boleh kita lakukan untuk rakyat,” kata Shafie.