Shafie Bayangkan Kemungkinan Bendera Warisan Berkibar di Muar

warisan-bendera.jpg

KIMANIS, 8 Jan -- Petugas kempen Parti Warisan Sabah (Warisan) memasang bendera gergasi parti itu sebagai bahan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Pekan Kimanis hari ini. PRK Kimanis pada 18 Januari ini, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan Datuk Karim Bujang, 67, dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin, 48. -- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkemungkinan mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum akan datang (PRU15) di bawah tiket Warisan.

Presiden parti yang berpangkalan di Sabah itu, Datuk Seri Moh Shafie Apdal membayangkan keterbukaannya terhadap idea berkenaan, dalam pada pihaknya melihat peluang untuk mengembangkan sayap ke Semenanjung.

“Kami memutuskan tidak akan bertanding di semua negeri, sebaliknya kawasan terpilih. Contohnya dalam PRU akan datang saya telah mencadangkan perkara ini kepada Syed Saddiq kerana pendaftaran MUDA telah ditolak Pendaftar Pertubuhan.

“Beliau dalam keadaan sukar untuk bertanding di masa depan. Memandangkan ada antara rakan seperjuangannya adalah golongan profesional termasuk doktor dan peguam, adalah baik untuk mereka bersama kita turut membantu mentadbir negara.

“Jadi saya fikir, apa salahnya?” katanya dalam forum bertajuk “Where Does Malaysia Go From Here?” anjuran Oxford & Cambridge Alumni Network Malaysia.

Shafie berkata, walaupun tiada niat memecahkan undian dengan membawa Warisan ‘melintasi’ Laut China Selatan, parti itu tetap mempunyai hak untuk menonjolkan diri di Semenanjung.

Menurutnya, jika parti seperti Umno, DAP dan PKR boleh berada di Sabah, tiada sebab untuk Warisan juga tidak boleh hadir di Semenanjung.

“Namun kita tidak akan meletakkan Warisan di Langkawi atau Jerlun. Saya masih memerlukan rakan-rakan sekutu,” katanya merujuk kepada kerusi Parlimen dipegang Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, Warisan mampu menyediakan platform untuk golongan muda yang sukar mendapat tempat dalam parti lain

Berhubung krisis politik kini, Shafie berkata beliau tidak bersetuju sekiranya darurat dilaksanakan lagi, atau untuk pelaksanaan Majlis Gerakan Negara (Mageran) kerana mampu memberi kesan terhadap pelabur.

Tambahnya, darurat yang dilaksanakan baru-baru ini juga tidak membantu dalam mengekang Covid-19 malah bilangan kes dan kematian meningkat.

Bagaimanapun, katanya, apa yang terbaik adalah untuk satu badan merangkumi golongan pakar membawa negara keluar dari krisis. – FMT

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top