Shafie Apdal Hipokrit – Ketua Wanita PCS

Regina-Lim-Parti-Cinta-Sabah-2.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Wanita Parti Cinta Sabah (PCS) Dr Regina Lim mendakwa, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal cuba menjaja dirinya sebagai pemimpin memperjuangkan nilai yang baik tetapi hakikatnya mempunyai sejarah hipokrit yang panjang sejak zaman Umno lagi.

Lim berkata, rakyat Sabah tidak sepatutnya terpedaya dengan gaya politik Shafie, dengan mendakwa Shafie “berkali-kali” mengatakan sesuatu perkara, namun melakukan sebaliknya.

“Tidak mungkin presiden sebuah parti, apalagi seorang ketua menteri, mengugut pengkritiknya dengan saman, bukannya menjawab tuduhan dilontarkan kepadanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lim merujuk kepada ugutan terbaru Shafie untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden PCS Datuk Seri Anifah Aman dan Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan kerana mendakwa beliau bukan berasal dari Sabah.

Kata Lim, ugutan saman itu bertentangan dengan prinsip selalu dibawa Shafie, iaitu kritikan perlu disambut baik kerana ia adalah sebahagian daripada demokrasi dan memastikan pemerintahan yang baik.

“Sebenarnya, ketika didesak supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan persekutuan untuk memperjuangkan hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan, Shafie mengulangi kenyataannya yang beliau percaya dengan pendekatan secara rundingan dan bukannya konfrontasi.

“Justeru, Shafie membuktikan dirinya hipokrit terbesar di Sabah ketika beliau mengugut untuk saman pengkritiknya, iaitu Anifah Aman dan Jeffery, jika mereka terus membuat tuduhan (seperti itu) terhadapnya.”

Ketika lawatan kerja ke daerah pedalaman Nabawan hujung minggu lalu, Shafie berkata beliau boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mendakwanya berasal dari negeri asing atau Warisan adalah untuk pendatang tanpa izin.

Lim berkata, mereka yang biasa dengan gaya berpolitik ahli Parlimen Semporna itu akan menyedari ia adalah “respons klasik Shafie” untuk mengugut pengkritiknya dengan tindakan undang-undang ketika beliau dalam keadaan terdesak.

Beliau turut berkata, pada 2009 Shafie yang ketika itu menteri pembangunan luar bandar dan wilayah, mengugut akan menyaman ahli Parlimen Batu pada masa itu Tian Chua atas dakwaan Shafie dan rakan-rakannya menerima sogokan daripada kontraktor sebagai pertukaran kontrak.

“Pada waktu itu Shafie menafikannya, mengatakan ia ‘tidak masuk akal dan tidak benar’. Tetapi di sebalik semua itu, beliau tidak pernah menyaman Tian Chua walaupun tuduhan itu berlarutan sehingga beliau dipecat daripada Umno dan dikaitkan dengan Pakatan Harapan.”

Katanya, sebenarnya Shafie tidak pernah mengemukakan saman terhadap pengkritiknya.

“Shafie, jika kamu gagal menyaman seperti yang dijanjikan, sekurang-kurangnya beri respons terhadap tuduhan yang dibuat kepada kamu dan buktikan yang mereka salah,” katanya, sambil memaklumkan kegagalan untuk mengemukakan saman sebelum ini menunjukkan Shafie hanya memainkan-mainkan rakyat untuk meraih simpati.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top