Shafee gagal dapat tempat dalam Majlis Peguam

Shafee-Abdullah.jpg

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah gagal mendapat tempat dalam Majlis Peguam apabila sekumpulan peguam aktivis muda terpilih menduduki 16 tempat teratas dalam pemilihan majlis yang berlangsung semalam.

Menurut FMT, antara yang mendapat tempat termasuk aktivis yang mengendalikan kes kepentingan awam dan hak asasi manusia serta hal-hal perlembagaan.

Fahri Azzat, yang mewakili kumpulan hak wanita Sister in Islam, mendapat undian tertinggi dengan 2,449 undian, diikuti Anand Raj, setiausaha Badan Peguam dengan 2.413 undi, manakala peguam hak asasi manusia New Sin Yew 2,301 undi.

Sebanyak 26 calon bersaing untuk merebut bilangan rekod 16 tempat bagi penggal majlis 2024-2025.

Calon-calon lain yang mendapat tempat termasuk Gregory Das, anak bekas presiden Badan Peguam Cyrus Das, yang mendapat tempat ke-10, dan Azmi Ali, rakan kongsi kanan di salah sebuah firma guaman terbesar di negara ini, di tempat ke-6.

Dalam kalangan 16 tempat teratas juga terdiri daripada empat wanita, termasuk bekas pengerusi Majlis Peguam Selangor V Kokila Vaani dan bendahari Badan Peguam Murshidah Mustafa.

Shafee hanya memperoleh 1,251 undian, menduduki tempat ke-22.

Beliau menjadi terkenal dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana mewakili bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak. Pada Ogos, Shafee meminta ganti rugi RM2 juta daripada Badan Peguam Malaysia berhubung usul mengenai kelakuannya pada mesyuarat agung tahunan 2015.

Bulan lepas, FMT melaporkan bahawa Shafee, ahli majlis penggal 2006-2009, mungkin mengintai jawatan presiden susulan pertikaiannya dengan kepimpinan majlis yang berlarutan selama beberapa tahun.

Ahli yang menduduki 16 tempat teratas dalam pemilihan semalam akan menyertai 26 ahli lain yang mewakili setiap negeri di Semenanjung untuk memilih presiden menggantikan Karen Cheah, setiausaha dan bendahari baharu Badan Peguam selepas mesyuarat tahunan pada Mac.

Selain Fahri, Anand, New, Gregory, Azmi, Kokila Vaani dan Murshidah, tempat-tempat teratas dalam pemilihan Majlis Peguam hari ini dimenangi Larissa Ann Louis; Peter-Douglas Ling; Sarah Yong Li Hsien; Tunku Farik Tunku Ismail; Kee Hui Yee; Collin Arvind Andrew; Yasmeen Shariff; Farez Jinnah; dan Abhi Subramaniam.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top