SFD Disaran Terus Lindung Khazanah Hutan

CM-hutan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) disarankan untuk terus mengambil pelbagai langkah bagi melindungi khazanah hutan Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, usaha-usaha ini penting bagi menyokong konservasi hutan melalui peralihan daripada kebergantungan terhadap bekalan sumber barang daripada hutan asli kepada pendapatan bukan berasaskan kayu.

“Inisiatif Forest Beyond Timber yang meneroka potensi menjana hasil bukan kayu daripada hutan ini sebagai alternatif untuk mencipta pendapatan baharu bagi negeri.

“Selain itu, pelbagai inisiatif konservasi juga giat dijalankan antaranya melalui inisiatif Heart of Borneo (HoB) pada 2007 hingga yang terkini dan penerokaan inisiatif ini dapat menyokong program konservasi hutan melalui potensi penjanaan hasil pendapatan bukan berasaskan kepada kayu.

“Peralihan ini akan membantu peratusan litupan hutan dan diharap usaha-usaha ini diteruskan dengan penuh semangat, cekap dan berdedikasi agar khazanah hutan Sabah akan terus terpelihara,” beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Perhutanan Tahun 2023 (MAPT 2023) di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Hajiji berkata sejajar dengan pindaan Rang Undang-undang Akta Perhutanan Negara (APN), Jabatan Perhutanan dicadangkan untuk terus mengkaji peruntukan-peruntukan yang ada di bawah Enakmen Hutan 1968.

“Cadangan pengkelasan hutan simpan bagi tujuan komuniti ini bagi menggalakkan penglibatan masyarakat setempat dalam usaha pemuliharaan hutan selain untuk dipertimbangkan bagi tujuan penempatan pada masa hadapan mengikut keperluan dan kesesuaian.

“Selain itu, melalui Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) (Pindaan) 2023 yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri, hutan simpan kekal negeri juga akan meningkat kepada 566.57 hektar iaitu 3.574 juta pada tahun 2022 kepada 3.575 juta hektar hutan di Sabah dilindungi sepenuhnya,” ujarnya.

Pada majlis berkenaan, seramai 60 Kakitangan JPS menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 14 penerima Compliance Certificate (CC) bagi Pengiktirafan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS), 24 penerima Anugerah CC untuk pemegang lesen Sabah Forest Management (SFM) dan 13 penerima anugerah CC untuk Projek SFM manakala bagi Anugerah Khas Ketua Konservator Hutan 2022 dianugerahkan kepada kakitangan SFD, Norisah Saiman.

Turut disampaikan Apresiasi Rakan Konservasi kepada tujuh penerima iaitu Pertubuhan Pemuliharaan Biodiversiti Seratu Aatai Sabah, Fakulti Perhutanan Tropika Universiti Malaysia Sabah, Aki Keramuak, Co Founder Rhino Forest Fund, Robert Risch, Tropikal Rainforest Conservation and Research Centre, Sekolah Menengah Kebangsaan Muhibbah dan Sabah Electricity Sdn.Bhd.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim dan Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top