Setiausaha Warisan Kemuka Tiga Cadangan Kepada Menteri Pengangkutan

loretto-padua.jpg

Datuk Loretto Padua

KOTA KINABALU: Kesemua 25 Setiausaha Bahagian Parti Warisan (Warisan) di Sabah memohon supaya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew mempertimbangkan tiga cadangan yang dikemukakan bagi meringankan beban rakyat di negeri ini.

Cadangan yang pertama ialah memberi pengecualian cukai jalan terhadap kenderaan baharu atau terpakai berkuasa 3.0cc ke bawah di negeri ini dan cadangan kedua ialah membawa dan mengusulkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kabinet Persekutuan mengenai pemberian subsidi insurans sebanyak 50 peratus terhadap kenderaan baharu atau terpakai berkuasa 2.5cc ke bawah.

Sementara itu, cadangan ketiga pula ialah pemberian subsidi ‘one off’ sebanyak 20 peratus terhadap alat ganti kereta yang berkaitan dengan jalan raya seperti ‘suspension’, ‘spring’ dan ‘mounting’ untuk kenderaan berkuasa 2.5cc ke bawah di negeri ini.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua berkata, ia seiring dengan nada ‘agenda rakyat’ di mana kedua-dua entiti ini iaitu Warisan dan Pakatan Harapan (PH) dilihat membawa agenda yang sama.

“Saya berharap agar Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan mempertimbangkan untuk memberi kelegaan segera kepada rakyat Sabah terutamanya yang berada di kawasan pedalaman yang sedang dihimpit dengan masalah infrastruktur yang begitu teruk sekali.

“Saya dan kesemua setiausaha-setiausaha Warisan dari 25 bahagian di negeri ini berharap menteri akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan yang dikemukakan untuk meringankan beban yang sedang dipikul rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut berharap supaya cadangan yang dikemukakan dapat diserapkan dalam Bajet 2023 yang sepatutnya dibentangkan sekali lagi oleh Kerajaan Perpaduan.

“Tempoh penguatkuasaan cadangan-cadangan ini bolehlah dihadkan kepada dua tahun iaitu untuk 2023-2024.

“Saya juga bersedia untuk bertemu dengan Anthony Loke bila-bila masa sahaja untukmembincangkan perkara ini kerana ini ialah isu yang cukup kritikal bagi rakyat Sabah khususnya mereka yang berada di kawasan pedalaman,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top