KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan memberikan peruntukan kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak RM2 juta tahun hadapan, dengan harapan semoga dengan peruntukan tambahan itu akan dapat membantu Ahli-ahli Yang Berhormat dalam mengurus dan menangani masalah rakyat di kawasan masing-masing.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang mengumumkan ini mengajak mereka sama-sama bekerja, berusaha dan terus mencurah bakti, ke arah memajukan dan memakmurkan negeri yang tercinta ini.
“Cabaran pada tahun hadapan mengajak kita untuk lebih berhati-hati serta lebih bijaksana dalam mentadbir dan mengurus hal ehwal negeri, apatah lagi dengan ancaman pandemik yang belum berakhir.
“Marilah kita sama-sama berdoa, semoga negeri bertuah yang tercinta ini kekal aman, makmur dan sejahtera; dijauhi daripada segala wabak, bencana dan marabahaya. Bersama-sama kita membina semula ekonomi negeri ini demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran yang berpanjangan di bawah gagasan Sabah Maju Jaya,” katanya yang juga Menteri Kewangan Negeri semasa menggulung untuk Kementerian Kewangan di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Foto: FB Hajiji Haji Noor