TAWAU: Setiap bahagian Parti Warisan (WARISAN) di Sabah perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking berkata, pihaknya sedar walaupun setiap bahagian mempunyai cabarannya sendiri, tetapi pemimpin dibahagian berkenaan perlu hadapinya dengan baik.
“Mungkin wujud salah faham, tetapi salah faham adalah perkara biasa dalam area politik.
“WARISAN adalah seperti sebuah keluarga besar, semua ahli dan pemimpin dalam parti seperti adik-beradik walaupun mempunyai pelbagai perbezaan.
“Tetapi dengan kesatuan, kita akan menjadi kuat dan dihormati,” katanya ketika merasmikan Persidangan Agung Tahunan Wanita, Wira dan Wirawati WARISAN di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, walaupun ramai ‘kawan-kawan’ sudah berhijrah ke kerajaan pada ketika ini, tetapi yang masih kekal dengan WARISAN adalah mereka yang berprinsip, percaya perjuangan dilandasan tepat, berintegriti dan sebagai anak Sabah serta orang Sabah.
“Kita sejak penubuhan parti ini, kita mempunyai misi iaitu kembalikan maruah orang Sabah dengan kerajaan yang telus.
“Kerajaan kini sering menuding jari kepada WARISAN mengenai kelemahan-kelemahan yang mereka hadapi,” katanya.
Katanya, parti itu kini lebih matang setelah ‘permasalahan-permasalahan’ meninggalkan WARISAN. – Utusan Borneo