SEEKOR anjing telah menunggu dengan sabar di luar rumah mayat hospital Daerah Kannur di di Kerala, India selama lebih empat bulan tanpa mengetahui bahawa tuannya telah meninggal dunia.
Kakitangan hospital mengatakan bahawa mereka tidak tahu anjing itu milik siapa tetapi mereka pasti dia datang bersama pesakit. Seorang kakitangan berkata bahawa mereka menamakan anjing itu, ‘Ramu’.
Vikas Kumar, seorang kakitangan di hospital itu berkata bahawa anjing yang setia itu pasti melihat pemiliknya dipindahkan ke bilik mayat dan masih merasakan pemiliknya ada di sana. Dia juga menambah bahawa ‘Ramu’ berkelakuan baik dan tinggal di luar hospital.
“Anjing itu merasakan pemiliknya masih di sini. Anjing itu tidak meninggalkan tempat ini dan telah berada di sini sejak empat bulan lalu”, agensi berita ANI memetik Kumar.
Seorang kakitangan berkata, “Apa yang gagal disedari oleh anjing itu ialah semua mayat dibawa keluar melalui pintu lain dan oleh itu ia terus menunggu, dengan harapan tuannya akan datang melalui pintu dari mana mayatnya dibawa masuk.”
Anjing itu pertama kali disedari oleh seorang atendan hospital kerana ia terbaring di atas tanjakan (ramp) menghala ke bilik mayat hampir empat bulan lalu. Pada mulanya, mereka tidak begitu mempedulikannya tetapi kemudian menyedari dia datang bersama pesakit. Bagaimanapun, pihak hospital tidak dapat mengenal pasti identiti tuannya.
Pada hari-hari awal ‘Ramu’ enggan makan tetapi kemudian mula mempercayai orang di sekelilingnya dan menerima biskut dan makanan, menurut laporan The Times Of India.
Seorang kakitangan wanita berkata bahawa ‘Ramu’ tidak banyak karenah dan kini anjing itu adalah kawan kepada semua kakitangan.
Anjing itu mengingatkan orang ramai kepada Hachiko, seekor anjing baka Akita di Jepun, yang menunggu di stesen kereta api di Shibuya City, Tokyo sehingga dia mati kerana tidak tahu tuannya telah meninggal dunia lebih sembilan tahun sebelum itu. Patungnya didirikan di luar stesen itu dan sangat popular di kalangan pelancong.