Setahun Menerajui KKRS, Antara Isu Dan Cabaran Yang Dilalui Bung Moktar

Bung-jkr-1.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

TEMPOH setahun menerajui Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS) merupakan satu perjalanan yang panjang dan sangat mencabar buat Timbalan Ketua Menteri I  Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Sebaik sahaja diberikan amanah untuk mengetuai kementerian itu, beliau terus diuji dengan cabaran yang sedia ada  selain isu kemudahan insfrastruktur  asas, jalan raya, bekalan air bersih, banjir kilat , tanah runtuh dan cabaran tidak terduga yang melanda bukan sahaja negara, malah seluruh dunia iaitu pandemik Covid-19

Namun begitu, selepas setahun  menerajui kementerian yang penting yang menjadi perhatian masyarakat itu, Bung mengakui  dengan kerjasama erat pasukannya berjaya bertahan dan mengharungi semua ujian dengan sebaiknya.

Ikuti temu bual media bersama beliau sempena ulang tahun pertama pentadbirannya di Kementerian Kerja Raya Sabah.

 

SOALAN: Sepanjang setahun Datuk Seri  menerajui Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS), boleh kongsikan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam tempoh tersebut?

BUNG: Saya bersyukur kerana diberi peluang menyertai kabinet dan berterima kasih kepada Ketua Menteri   yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas tugas penting di kementerian ini.

Tahun pertama menerajui  KKRS  memang sangat mencabar. Ia sebuah kementerian yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat terutamanya perkara-perkara yang berkaitan kemudahan insfrastruktur  asas untuk kepentingan rakyat. Keadaan lebih mencabar apabila Covid-19 melanda dan kita terpaksa menghadapinya dalam keadaan tidak bersedia.

Saya mengakui sebaik melangkah memasuki kementerian ini, banyak cabaran yang perlu saya lalui  antaranya isu isu berkaitan insfrastruktur asas, isu yang belum selesai dan bakal saya warisi  antaranya sistem perhubungan jalan raya, bekalan air bersih dan bencana alam yang tidak terduga seperti hujan dan banjir yang mengakibatkan jalan,cerun runtuh, jambatan terputus dan juga masalah bekalan elektrik di mana ianya juga menjadi tanggungjawab saya.

Kita tidak mampu mengelak persepsi masyarakat umum  bila ada isu  jalan raya rosak dan sebagainya tumpuan mereka adalah kepada JKR, walaupun tidak semua aduan mengenai kerosakan jalan raya dan sebagainya  menjadi tanggungjawab JKR, ini kerana ada antaranya jalan yang bukannya dalam selenggaraan JKR seperti jalan ladang, jalan kebun, jalan di bawah pihak berkuasa tempatan atau kementerian lain yang di luar kawalan JKR. Semua isu ini  perlu dihadapi. Kita perlu memandang ke hadapan tanpa menyalahkan kerajaan terdahulu untuk menyelesaikany , ini kerana setelah rakyat memberikan mandat kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas PRN ke-16 sudah tentu  mereka memerlukan pembelaan yang lebih baik dari sebelumnya.

KERJASAMA…Kerajaan GRS yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Nor sering melakukan perbincangan bersama timbalannya bagi mempastikan segala program dan dasar kerajaan berjalan lancar untuk kepentingan rakyat

Hari pertama saya melaporkan diri di KKRS saya menyatakan  misi utama saya ialah menyelesaikan masalah jalan dan air, ini disebabkan dua masalah ini sering membelenggu rakyat di negeri ini dan ini menjadi keutamaan saya selaku menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga kementerian ini.

Saya mengakui sistem perhubungan jalan raya di negeri ini masih jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain. Usaha berterusan akan terus dilaksanakan bagi membaiki jalan-jalan yang rosak sama ada yang dikendalikan oleh pihak JKR mahupun konsesi yang dpertanggungjawabkan.

Saya beruntung kerana memiliki pasukan yang cakna kepada isu ini khususnya Pengarah JKR dan jurutera-jurutera daerah yang kerap kali saya ingatkan agar sentiasa cakna dan turun padang bagi meninjau setiap  aduan yang dikemukakan oleh masyarakat mengenai kerosakan jalan raya termasuklah kerosakan yang disebabkan oleh bencana seperti banjir atau tanah runtuh.

SOALAN: Lebuh Raya Pan Borneo merupakan harapan rakyat Sabah untuk menikmati sistem perhubungan jalan raya yang lebih baik, komen Datuk?

BUNG: Sebagaimana semua maklum projek Lebuh Raya Pan Borneo merupakan satu projek yang dijanjikan oleh Barisan Nasional dalam Manifesto Pilihan Raya Umum 2013 . Pada April 2016 Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak telah melancarkan tujuh pakej Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah iaitu Sipitang,Papar,Putatan,Inanam,Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.

Selepas Barisan Nasional tewas dalam PRU14, berlaku pertukaran kerajaan di peringkat pusat dan negeri. Susulan itu perjalanan pembinaan lebuh raya Pan Borneo ini mengalami banyak kekangan.

Tindakan kerajaan terdahulu membatalkan Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi pembinaan lebuh raya Pan Borneo di Sabah tanpa terlebih dahulu mendapatkan sukuk atau bon, menimbulkan kesukaran dalam pelaksanaan projek itu terutama bagi aspek pembiayaan.

Ketiadaan sukuk atau bon, pembiayaan projek itu kini terpaksa bergantung kepada peruntukan pembangunan daripada kerajaan Persekutuan. Berbeza dengan Sarawak mereka batalkan PDP tetapi mereka sudah dapatkan sukuk atau bon untuk projek itu, tetapi di Sabah terbalik, mereka tidak teliti dan kaji, batal PDP tetapi sukuk atau bon belum diurus…apabila ini berlaku ia melibatkan peruntukan pembangunan, Pan Borneo tidak dapat dibangunkan menyeluruh.

HARAPAN RAKYAT…Projek Lebuh Raya Pan Borneo antara harapan rakyat Sabah.

Sekarang ini kira-kira RM1 bilion satu tahun (peruntukan pembangunan ) untuk bangunkan projek ini, saya membuat perkiraan jika cara ini 45 tahun pun belum tentu projek ini boleh siap untuk dinikmati oleh rakyat.

Oleh kerana projek ini menelan kos yang tinggi ketika negara kita berhadapan dengan masalah ekonomi yang merundum semasa penularan pandemik COVID-19, kerajaan negeri telah mengambil keputusan agar projek ini diteruskan dengan kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan cadangan tersebut telah dikemukakan kepada kerajaan pusat untuk kelulusan.

Bagi saya projek ini penting untuk rakyat Sabah bukan sahaja untuk kemudahan perhubungan jalan raya  yang lebih baikdan  selesa tapi ianya boleh mentranformasikan kawasan luar bandar sekali gus boleh melonjakkan taraf  siso ekonomi rakyat.

Kita mempunyai tiga fasa iaitu melibatkan pembinaan keseluruhan sepanjang 1,236km dengan anggaran kos RM40.2 bilion. Fasa satu projek ini melibatkan 35 pakej telah siap proses reka bentuk membabitkan pembinaan sejauh 706km dengan kos RM15.2 bilion dan 15 pakej dalam peringkat pembinaan pada masa ini, melibatkan 317.6km dengan kos RM7.98 bilion di bawah pembiayaan kerajaan Persekutuan

SOALAN: Isu bekalan air bersih di Sabah komen Datuk Seri?

BUNG:  Hampir seluruh daerah di negeri ini menghadapi masalah bekalan air bersih. Selain dari permintaannya agak tinggi dengan wujudnya bandar-bandar baharu, kawasan perumahan dan perindustrian kita juga menghadapi masalah lain antaranya masalah paip bocor yang dibina sejak  zaman British lagi.

Daripada  84 loji rawatan air di Sabah sebanyak 22 loji rawatan air menghadapi masalah seperti kedudukanya yang tidak sesuai dan tidak mampu menampung keperluan pengguna. Untuk menangani isu ini kita memerlukan sekurang-kurangnya RM13 bilion untuk meningkatkan prasarana ini  di mana anggaran ini bukan sahaja untuk mengganti paip yang sedia ada, muka sauk, membina pusat Rawatan Air (LRA) yang  baharu di mana sebahagian LRA yang ada kini  berhadapan dengan masalah membekalkan air bersih berikutan pencemaran sungai yang menjejaskan operasi loji dan kolam takungan baharu

Bagi menangani isu bekalan air ini  KKRS telah pun membentangkan kepada kabinet hala tuju serta strategi jangka panjang untuk mengurus  bekalan air negeri ini. Ia termasuklah merombak operasi Jabatan Air Sabah dan menswastakan perkhidmatan  bekalan air untuk mengatasi gangguan bekalan air yang sering berlaku di negeri ini.

Saya akui bagi menyelrsaikan isu bekalan air di negeri ini kita memerlukan peruntukan yang besar, lebih menyulitkan keadaan, Sabah dan Sarawak sebelum ini tidak menyertai program air kebangsaan menyebabkan  kita tidak mendapat peruntukan secara langsung dari kementerian berkenaan kerana kita menguruskan air sendiri.

Kita berharap di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub melalui konsep “Keluarga Malaysia”  dengan pengumuman peruntukan sebanyak RM4.66 bilion untuk Sabah dalam RMK-12 yang dibentangkan Isnin lepas, kerajaan persekutuan akan memberikan peruntukan bagi membantu kita  menangani krisis  bekalan air bersih di negeri ini. Saya yakin dengan hubungan serta kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan pusat masalah ini akan dapat ditangani peringkat demi peringkat.

SOALAN:  Sebelum ini wujud pertindihan tugas antara JKR Negeri dan Pusat, pandangan Datuk Seri?

BUNG: Semasa saya mengambil bahagian dalam perbahasan  menjunjung kasih Titah Ucapan Yang Dipertua Agong di Dewan Rakyat baru-baru ini isu ini telah saya bangkitkan agar kerajaan persekutuan mengiktiraf  Jabatan Kerja Raya Sabah sebagai sebuah jabatan  teknikal dan bertuliah. Kita mempunyai beribu  jurutera yang bertauliah dan berpengalaman, jadi agak tidak lojik jika kita tidak  mendapat pengiktirafan dari kerajaan pusat.

TURUN PADANG….Turun padang meninjau masalah rakyat menjadi sebahagian daripada rutin Bung Moktar.

Dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan RMK-12 ini khususnya kendalian JKR Pusat, jika kita tidak diberikan peranan sebagai pemantau dan kebetulan projek tersebut bermasalah, JKR Negeri tidak boleh berbuat apa-apa  dan jika kita biarkan masalah berterusan, rakyat akan marah dan yang akan menerima kesan bukan sahaja kerajaan negeri, tetapi juga rakyat.

Sebagai merintis jalan baru-baru ini  pihak JKR Malaysia dan JKR Sabah telah pun menandatangani nota kerjasama  bagi pelaksanaan program integrasi  data sistem SKALA-PALMS  bagi membolehkan data-data projek pembangunan Persekutuan dan Negeri dapat diakses secara bersama. Perkongsian data  ini juga akan mempercepatkan proses pelaporan data kemajuan fizikal projek bagi membolehkan pemegang taruh (stakeholder) memperolehi  maklumat dengan segera,tepat serta menjimatkan kos. Ia sekali gus dapat  meningkatkan kecekapan sistem antara Persekutuan  dan Negeri. Perancangan negara  akan lebih berpandukan  data bagi  memenuhi keperluan dan jangkaan rakyat.

SOALAN: Setahun bersama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), apakah yang boleh dikongsikan mengenai prestasi GRS ketika ini selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan semasa penularan Covid-19?

BUNG: Saya sangat berbangga dapat bersama GRS dalam kerajaan dan kabinet. Sebaik kerajaan GRS dibentuk, kita dikejutkan dengan penularan Covid-19. Tumpuan kerajaan yang diketuai Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Nor pada masa ini  adalah untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan negara serta rakyat terjamin.Setelah itu, tumpuan diberi sepenuhnya kepada soal pemulihan ekonomi negeri dan rakyat.

Saya yakin sasaran kita untuk mencapai 80% pemberian vaksin kepada rakyat di negeri ini pada penghujung Oktober ini akan tercapai. Ketika ini tumpuan pemberian vaksin kepada masyarakat di luar bandar dan kawasan-kawasan pedalaman sedang giat kita jalankan melalui program “Outreach” atau “Walk-in”.

Perkembangan positif di mana ada  beberapa buah daerah di negeri ini sudah mencapai 100% program vaksinisasinya dan kini kita telah memulakan program vaksinisasi kepada golongan remaja dan pelajar sekolah menengah.

Kita berharap sebaik sahaja pemberian vaksin ini mencapai sasarannya, penularan pandemik Covid-19 dapat  dilandaikan dan ini membolehkan kerajaan fokus untuk memulihkan ekonomi negeri dan rakyat dengan memulihkan beberapa  sektor seperti pertanian, pelancongan dan lain-lain yang terjejas terok semasa pandemik.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top