KOTA KINABALU: Sesi persekolahan bersemuka yang bermula pada 4 Oktober ini hanya membabitkan seramai 16,328 orang pelajar atau tiga peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar di Sabah.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr. Mistirine Radin berkata, jumlah itu termasuk pelajar tingkatan enam atas, murid berkeperluan khas, pelajar prauniversiti semester tiga di Sekolah Sukan Malaysia Sabah dan murid mengambil peperiksaan antarabangsa.
Beliau berkata, hanya empat kumpulan pelajar itu sahaja yang akan memulakan sesi persekolahan pada 4 Oktober berikutan Sabah masih berada pada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kesemua 16,328 orang pelajar ini akan hadir ke sekolah tanpa perlu penggiliran dan guru yang terlibat pula kira-kira 2,700 orang sahaja.
“Daripada jumlah pelajar itu, seramai 2,347 orang pelajar tingkatan enam atas dan murid berkeperluan khas akan tinggal asrama. Pendaftaran masuk ke asrama bermula 3 Oktober ini.
“Sebagai langkah pencegahan sebelum sesi persekolahan bermula, pelajar yang tinggal di asrama akan menjalani ujian kendiri Covid-19 yang akan dilakukan sebanyak tiga kali sepanjang tempoh 14 hari pelajar kembali ke asrama.
“Ujian kendiri akan turut dilakukan terhadap pelajar asrama harian yang bergejala atau menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 semasa berada di asrama dan sekolah,” katanya semasa temubual bersama radio SabahFm, di sini kelmarin.
Menurutnya, kit ujian kendiri ini dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan dan pengoperasian sekolah 3.0 yang dikeluarkan pada 24 September lalu.
Jelas beliau, pelajar lain dari prasekolah sehingga tingkatan enam rendah akan meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Mengulas lanjut katanya, apabila Sabah beralih kepada Fasa 3 PPN kelak, KPM akan memberi tempoh 14 hari kepada jabatan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah untuk membuat persediaan pertambahan pelajar yang akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran bersemuka.
Semasa Fasa 3 PPN, pelajar tingkatan lima akan dibenarkan hadir ke sekolah dan jumlah mereka ini agak ramai iaitu kira-kira 40,000 orang manakala, guru pula seramai 7,000 orang.
“Pada Fasa 3, jumlah pelajar dan guru yang berada di sekolah akan bertambah maka, kita perlu memberi panduan berkaitan pematuhan SOP yang lebih ketat termasuk kaedah penyuraian murid dan sistem penggiliran.
“Antara pendekatan yang akan diambil adalah membuat sesi libat urus bersama PPD dan sekolah untuk memberi kefahaman tentang tindakan kita mengikut garis panduan KPM,” katanya.