Sesi Dialog Awam Pelan Induk Di Penampang Esok dan Lusa

Darell-Leiking.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sesi dialog awam bagi menjelaskan tentang Pelan Induk Tempatan Penampang akan diadakan pada 15 dan 16 Disember ini (esok dan lusa).

Dialog itu diadakan selaras dengan jaminan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) untuk memastikan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil kira suara komuniti setempat sebelum pelaksanaan Pelan Induk Tempatan Penampang.

Seiring dengan itu, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking menggesa kerajaan supaya memberi keutamaan bagi menyelesaikan masalah banjir dan pelan induk berkenaan.

Beliau berkata, pelan induk ini dimaklumkan kepada umum pada 18 Oktober lalu menerusi notis awam namun, ia tidak sampai kepada semua pemegang taruh.

Bagaimanapun, Pejabat Parlimen Penampang telah menghantar surat bagi meminta Pejabat Daerah untuk melaksanakan pendengaran awam pada 2 November lalu. Ia diikuti dengan mesyuarat bersama wakil Pejabat Parlimen Penampang dan Pejabat Daerah pada 8 November lalu.

Perbincangan itu diadakan bagi meminta Pejabat Daerah itu melaksanakan sesi dialog bersama semua pihak pemegang taruh di Penampang dan menjemput pakar untuk menerangkan impak pelan induk tersebut untuk mendapatkan maklum balas.

“Kami mahu menekankan tentang penglibatan pemegang taruh dan dialog awam bagi membolehkan semua orang mendapatkan pandangan yang lebih baik mengenai pelan induk baharu sebelum ia diwartakan,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyong berkata, beliau sudah membangkitkan isu tersebut untuk perhatian Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan semasa persidangan DUN baru-baru ini.

Darell turut membangkitkan tentang keperluan Kementerian Pertanian dan Perikanan bagi menyemak semula projek mitigasi banjir yang diumumkan sebelum ini.

Dalam jawapan bertulis yang diterima, kementerian itu memaklumkan projek mitigasi banjir bernilai RM281 juta itu tidak akan menyelesaikan masalah banjir yang berlaku di Penampang yang berpunca dari Sungai Moyog.

Malah, kementerian itu juga memberi jaminan untuk mewujudkan semula Jawatankuasa Pengurusan Tadahan Air menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran untuk menguruskan pembangunan dan aktiviti pembinaan berkaitan dengan pertanian.

Kementerian itu juga memaklumkan mereka akan mengawal pembangunan dan melindungi alam sekitar dan tadahan air

“Pembangunan tidak terkawal antara salah satu faktor yang menyebabkan banjir luar biasa seperti banjir lumpur di Penampang seperti saya sebutkan sebelum ini di Parlimen dan Persidangan DUN.

“Saya rasa lega dengan jawapan yang diberikan oleh kerajaan berhubung perkara ini,” katanya. – Borneo Today

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top