SESB secara teknikal sudah muflis, dedah Madius

DSP-Madius.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Seri Madius Tangau mendedahkan bahawa SESB sebagai syarikat utiliti yang membekalkan elektrik di negeri ini secara teknikalnya sudah muflis.

Beliau berkata, antara cabaran yang dihadapi SESB ialah kebergantungan penuh terhadap subsidi kerajaan Persekutuan untuk memastikan kelangsungan operasi.

“Ini kerana SESB secara teknikalnya telah muflis memandangkan tarif jualan elektrik kepada pengguna lebih rendah iaitu RM0.34 berbanding kos pembelian atau penjanaan iaitu RM0.43 sen seunit elektrik.

“Dalam erti kata lain, SESB mengalami kerugian sekitar hampir RM0.10 dalam seunit jualan elektrik kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelasnya lagi, bagi menampung kerugian itu, kerajaan Persekutuan memberikan subsidi kepada SESB.

“Pada tahun lalu sahaja sekitar RM800 juta subsidi diperuntukkan kepada SESB.

“Cabaran inilah yang juga perlu diambil kira, ditangani dan difikirkan kerajaan Sabah dalam usaha mengambil alih kepemilikan penuh SESB,” katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tuaran itu menaruh keyakinan usaha mengambil alih SESB boleh dicapai dalam tempoh tujuh tahun dari sekarang sekiranya Pelan Transformasi SESB dapat dijayakan bersama seluruh pemegang taruh.

Beliau menyambut baik penurunan kuasa urus tadbir bekalan elektrik daripada kerajaan Persekutuan kepada Sabah selepas tiga Rang Undang-undang (RUU) diluluskan dalam Mesyuarat Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.

“Kelulusan tiga RUU itu tepat pada masanya dalam reformasi urus tadbir kerajaan iaitu desentralisasi kuasa sekali gus memperluaskan autonomi kerajaan Sabah yang sebelum ini tidak merangkumi kawal selia bekalan tenaga.

“Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang memberi kepercayaan dan keyakinan kepada Sabah dan kepada Kerajaan Sabah tahniah dan syabas di atas kesanggupan menerima tanggungjawab yang mencabar ini dan ini merupakan pencapaian yang bersejarah.

“Pada masa sama, saya juga berharap agar kuasa autonomi ini turut diperluaskan kepada SESB selaku syarikat utiliti yang berniaga membekalkan bekalan elektrik di Sabah dan Labuan,” katanya. – SINAR HARIAN

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top