SESB perlu punya keupayaan jana sendiri keperluan elektrik di Sabah – Madius

SESB.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu memiliki keupayaan menjana sendiri sekurang-kurangnya 70 peratus daripada keperluan beban asas tenaga elektrik untuk menyelesaikan isu gangguan bekalan di Sabah.

Pengerusinya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata ketika ini, SESB hanya mampu menjana dan memiliki 20 peratus daripada keperluan beban asas tenaga elektrik manakala bakinya dijana oleh penjana tenaga bebas (IPP) sebelum dijual kepada syarikat itu.

Beliau berkata keperluan beban asas di Sabah ialah sebanyak 1,080 megawatt (MW) namun kapasiti keseluruhan penghasilan tenaga semasa hanya pada 1,200MW sekali gus menunjukkan marjin rizab yang kurang daripada 12 peratus.

“Keadaan itu boleh membawa kepada ketidakstabilan dalam bekalan tenaga terutama semasa menghadapi cabaran teknikal,” menurutnya dalam kenyataan pada Ahad.

Beban asas merujuk kepada tahap bekalan tenaga elektrik minimum bagi memenuhi bekalan secara konsisten dalam tempoh 24 jam.

Madius juga berkata SESB kini beroperasi dengan kerugian disebabkan pembelian kuasa daripada IPP pada kadar RM0.43 seunit elektrik namun dijual kepada pengguna pada harga RM0.34 mengikut tarif yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Justeru, beliau berkata SESB berharap kerajaan meletakkan keyakinan dan kepercayaan kepada syarikat itu bagi membolehkan ia menjana tenaga elektrik sendiri tanpa bergantung kepada IPP.

“Semua pemegang taruh perlu menilai semula keadaan kewangan SESB dan penjanaan bekalan elektrik yang lebih stabil.

“Jangan terus beranggapan bahawa SESB hanya boleh membeli tenaga elektrik daripada IPP untuk dijual kepada pengguna.

“SESB memiliki aset dalam rangkaian penghantaran dan pengagihan bekalan tenaga tetapi tidak dalam penjanaan kuasa elektrik namun kita sebenarnya mempunyai ramai tenaga mahir bukan sahaja berkebolehan untuk membuat kajian tetapi berupaya untuk mengoperasikan sebuah penjanaan kuasa elektrik sendiri di Sabah,” katanya.

Ahli Parlimen Tuaran itu turut mencadangkan agar Petronas dan kerajaan negeri membuat pengagihan gas asli dengan memberi keutamaan kepada penjanaan elektrik bagi membolehkan penjanaan secara berkesan dalam usaha menyalurkan bekalan tanpa gangguan kepada rakyat Sabah. – BERNAMA

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top