SESB pandang serius usikan pepasangan elektrik

sesb.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memandang serius ke atas pengusikan pepasangan miliknya yang semakin berleluasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ir.Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata kejadian yang melibatkan Kes Usikan Pepasangan Meter (KUPM) dan kecurian kabel elektrik milik SESB adalah satu kesalahan yang perlu diambil perhatian oleh masyarakat khususnya pengguna SESB.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menyebabkan SESB kerugian jutaan ringgit tetapi juga boleh mengundang bahaya kepada pelaku.

“SESB tidak akan berkompromi dengan kes melibatkan penggunaan elektrik secara curang ataupun kelakuan usikan ke atas kabel elektrik milik SESB dan akan menuntut gantirugi melalui perintah Mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Menurut beliau, dalam kes sebegini, SESB akan mengeluarkan surat tuntutan kerugian dan membawa kes tersebut ke mahkamah kepada pengguna yang didapati menggunakan elektrik secara curang dan sekiranya pengguna enggan untuk bekerjasama, tindakan yang lebih tegas akan dilaksanakan.

Dalam pada itu, pada 28 Mei, 2024, seorang pengarah syarikat didenda sebanyak RM25,000 atau penjara lima bulan kerana secara tidak jujur menghalang meter kepunyaan SESB untuk merekodkan penggunaan elektrik bagi meter tersebut.

Manakala itu, Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada 21 Jun, 2024 turut menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara ke atas seorang lelaki kerana memotong kabel SESB di kawasan UiTM Sabah.

Hukuman dijatuhkan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mohd Yaakob juga menjelaskan bahawa terdapat beberapa kes lagi yang akan dihadapkan ke Mahkamah bagi tujuan tuntutan gantirugi dan SESB sedang menyusul kes-kes tersebut yang telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Tenaga, Energy Commission of Sabah (ECOS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan tindakan ke Mahkamah.

SESB Careline : 088-515000/ 15454/ Whatsapp 019- 852 5427

 

Sumber: Jesselton Times

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top