SANDAKAN : Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mulai melaksanakan projek interim elektrik di kawasan setinggan dalam usaha membanteras kegiatan sambungan elektrik secara haram.
Kampung Forest di sini menjadi kawasan setinggan pertama di Sabah bagi projek tersebut yang mulai dilaksanakan oleh Village Support Services Sdn Bhd sejak awal September lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts Mohd Yaakob Jaafar, berkata keputusan kerajaan dan Suruhanjaya Tenaga meluluskan konsep dan pelaksanaan projek perintis Pengedar Tenaga Bebas (Independent Power Distributor – IPD) telah memberi jalan penyelesaian interim terhadap isu sambungan haram di kawasan itu.
Katanya, projek itu bertujuan untuk memastikan keselamatan orang ramai sekaligus mencegah kes kemalangan jiwa akibat kegiatan penyambungan haram.
“Selain membekalkan elektrik secara sah, kita juga membuat pendawaian di dalam rumah bagi memastikan ia adalah selamat. Kita juga mahu memastikan pengguna di kawasan sekitar tidak terganggu akibat sambungan yang tidak betul.
“Projek ini adalah langkah interim sementara kita menunggu hala tuju daripada kerajaan berkenaan penempatan ini. SESB tidak boleh sentiasa kerugian (akibat sambungan haram). Kita mesti menjamin kelangsungan pendapatan.
“Oleh itu, kita lantik IPD yang dipertanggungjawabkan untuk memberi bekalan dan membuat kutipan daripada pengguna. Secara tidak langsung, SESB akan dapat jaminan dari segi tenaga elektrik yang dibekalkan dan akan dapat pulangan juga,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sesi Taklimat dan Lawatan Tapak Projek ‘Independent Power Distributor (IPD)’ Kampung Forest di sini, kelmarin.
Ketika ini, sebanyak 752 rumah daripada 1,200 rumah di kampung itu telah mendaftar untuk perkhidmatan bekalan melalui IPD tersebut.
Daripada jumlah tersebut, 458 rumah telah menerima bekalan elektrik.
Menurut beliau, projek itu akan diperluas ke seluruh negeri secara berperingkat-peringkat antaranya Kampung Bakau dan Kampung Sundang di Sandakan selain kawasan setinggan dalam Parlimen Sepanggar.
“Mengikut statistik, terdapat 200 koloni setinggan dengan hampir 30,000 rumah di seluruh negeri ini. Kita akan tangani isu ini selepas projek pertama telah dapat kelulusan dari Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta Suruhanjaya Tenaga pada tahun 2022.
“Meskipun tarif elektrik yang diluluskan adalah tinggi daripada pengguna biasa, tetapi cas yang dikenakan adalah lebih adil dan wajar. Walaupun sedikit tinggi, tetapi rata-rata penduduk di sini berpuas hati berbanding bil yang mereka bayar sebelum ini,” jelasnya.
Untuk rekod, SESB mencatatkan kerugian sehingga RM36 juta setahun akibat kegiatan sambungan elektrik secara haram, dan inisiatif projek perintis IPD dilihat mampu mengurangkan kerugian itu sekaligus memastikan pengguna mendapat bekalan elektrik yang lebih stabil.- SNT