SESB Hulur Sumbangan RM270,000 Sepanjang Ramadan

SESB-amal.jpg

Hasan (dua dari kanan) menyampaikan replika cek sumbangan kepada wakil Masjid Al Fattah, IPD Penampang, ASP Roni Abdul Rahim (kiri).

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyumbangkan RM270,000 melalui pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang bulan Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata jumlah sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada jumlah wakalah zakat SESB bernilai RM893,036.

“Sumbangan mengikut hukum Syariah yang ditetapkan bagi penerima wakalah zakat ini melibatkan penerima daripada golongan asnaf dengan kadar sebanyak 47.2 peratus, pusat tahfiz 25.2 peratus, masjid dan surau 11.6 peratus dan juga persatuan sebanyak 16 peratus.

“Program penyerahan ini bukan hanya tertumpu di Kota Kinabalu tetapi juga akan diadakan di daerah lain seperti Tawau, Sandakan, Tuaran, Papar dan Kinabatangan

“Dengan wakalah zakat ini juga, SESB melalui Program Baiti Jannati telah membina dua buah rumah di Kg Tanjung Aru Lama dan Kg Ambawa Kelatuan Papar dengan kos pembinaan rumah RM130,700,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), SESB dan Ahli Lembaga Pengarah SESB bersama warga kerja, pada kelmarin.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan sumbangan kepada dua buah masjid iaitu Surau Al-Amin Tanjung Aru dan Masjid Al Fatah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang serta dua buah pusat tahfiz, Pusat Pengajian Tahfiz Al Quran As Syatibiyah dan Maahad Tahfiz Darul Hadis Sabah.

Manakala, seramai 75 pelajar dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Toh Puan Hajjah Rahmah Kinarut dan 10 asnaf dari sekitar kawasan Petagas juga menerima sumbangan.

Hadir sama, Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin; Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah SESB, Ghazalie Ansing dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Rosmadi Datu Sulai.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top