SESB diserahkan kepada kerajaan Sabah selepas pelan transformasi selesai

madius.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Penyerahan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan negeri hanya dilaksanakan selepas pelan transformasi syarikat tenaga itu selesai pada 2030.

Pengerusi SESB, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata perkara itu dimaklumkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim kepada beliau sebelum ini.

“Kementerian itu memaklumkan Kerajaan Persekutuan akan mewartakan perintah mengikut Perkara 95C serta penggantungan penguatkuasaan akta berkaitan pembekalan elektrik di Sabah berkuatkuasa pada 3 Januari 2024.

“Ia merangkumi Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (Akta 610), Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 (Akta 725) dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 (Akta 726),” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Menurut BHarian yang memetik kenyataan itu Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan kerajaan negeri sudah membuat persediaan sewajarnya untuk peralihan kuasa pembekalan elektrik itu.

Katanya, antaranya menyediakan draf enakmen bekalan elektrik Sabah dan penggantungan akta berkaitan serta melancarkan Energy Sabah Roadmap pada 19 September 2023 yangmenetapkan sasaran serta hala tuju industri bekalan elektrik di negeri ini.

“Kerajaan Sabah susah mewujudkan unit tenaga negeri mengikut kawal selia pejabat ketua menteri berfungsi sebagai pengantara Energy Commission of Sabah (ECoS) dengan kerajaan negeri serta bertanggungjawab dalam penggubalan dasar mengenai pembekalan elektrik di negeri Sabah,” katanya.

Madius berkata, kementerian berkenaan turut memaklumkan supaya kerajaan negeri mewujudkan dan memperkukuhkan ECoS sebagai agensi kawal selia industri bekalan elektrik di Sabah.

“Sehingga Ogos 2023, ECoS sudah melaksanakan pengambilan 89 kakitangan dan mensasarkan pengambilan secara berfasa sehingga mencapai 100 kakitangan berkhidmat di ECoS.

“ECoS juga memperkukuhkan pengoperasian tadbir urus dengan menyediakan kemudahan logistik, pelantikan anggota suruhanjaya, penyediaan prosedur dalaman dan urusan pentadbiran untuk mengambilalih kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top