KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) digesa untuk mencari jalan penyelesaian jangka panjang berkenaan struktur tanah tidak stabil di tapak menara talian penghantaran di Jalan Kampung Tombovo, Putatan, pada kadar segera.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Wira Warisan Putatan, Bradley Laurene Jipius berkata penyelesaian jangka pendek masalah berkenaan tidak lagi boleh diterima pakai ekoran beberapa siri runtuhan kecil yang berlaku akibat cuaca tidak menentu sejak beberapa bulan lalu.
Bradley yang juga Setiausaha Warisan Cawangan Kampung Tombovo dan Penyelaras KDM Warisan Unity Bahagian Putatan berkata beliau difahamkan, kejadian tanah runtuh akibat hakisan tanah sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, sebelum ini SESB telah menyatakan komitmen untuk melakukan penyelesaian jangka panjang secepat yang mungkin.
“Namun ianya tidak dilakukan sehingga ke hari ini dan sekali lagi, SESB dilihat hanya memasang kanvas bagi melindungi lereng bukit tersebut daripada hakisan air hujan pada September lalu.
“Sekarang ini, kanvas yang lama sudah koyak rabak dan seterusnya mendedahkan lereng bukit terbabit kepada masalah hakisan tanah yang semakin meruncing,” kata Bradley dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Bradley, jarak antara tapak tiang menara talian penghantaran berkenaan hanya beberapa meter sahaja dari lereng bukit yang sudah terhakis.
“Kesan hakisan lereng bukit tersebut telah mengakibatkan jalan raya berhampiran dipenuhi lumpur setiap kali hujan,” katanya.
Menurut Bradley, jalan tersebut adalah laluan penghubung utama antara Jalan Lama Penampang – Kinarut ke Kem Lok Kawi dan daerah Putatan serta terdapat lebih 20 buah rumah penduduk kampung yang terletak tidak jauh dari menara itu.
“Keadaan sekarang memperlihatkan situasi yang mungkin akan mengakibatkan menara tersebut tumbang dan jika ini berlaku, bukankah ianya akan menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kawasan yang lebih besar?,” katanya.
Bradley menegaskan keselamatan penduduk sekitar dan penguna jalan raya berkenaan haruslah diutamakan.
Sehubungan itu beliau sekali lagi menggesa SESB agar melaksanakan kerja pemulihan dengan segera untuk mengelak kejadian tidak diingini. – Borneo Today