SESB Berusaha Bersama Semua Pihak Selesai Masalah Elektrik Sabah – Pengerusi

sesb.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berusaha keras bersama semua pihak berkepentingan bagi menyelesaikan masalah bekalan elektrik yang kian membelenggu penduduk di Sabah, kata Pengerusinya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata masalah bekalan eletrik di Sabah sangat besar dan mencabar, dan penyelesaiannya terletak di bahu banyak pihak, bermula daripada pihak berkepentingan iaitu kerajaan Persekutuan melalui Tenaga Nasional Bhd (TNB), kerajaan Sabah, SESB, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat di akar umbi.

“Pengalaman masa lalu memberi pengajaran kepada kita supaya semua pihak berkepentingan bekerjasama dan mengambil sikap menjadi sebahagian daripada penyelesaian, dan bukannya menjadi sebahagian daripada masalah.

“Saya dan keluarga juga pengguna elektrik. Apa yang pengguna rasai, kami juga merasai. Sebab itu perasaan kami merupakan sebahagian daripada nadi rakyat, yang sudah tentu beraspirasi agar masalah bekalan eletrik di Sabah dapat diselesaikan dengan segera,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Madius berkata kerajaan negeri telah memperkenalkan inisiatif untuk mengatasi bekalan elektrik di negeri itu, terutama di kawasan pantai timur Sabah.

Antara inisiatif besar ialah projek penjanaan kuasa eletrik 300 megawat menggunakan arang batu di Lahad Datu suatu ketika dahulu, namun kerajaan negeri membatalkannya atas tentangan dan desakan hebat oleh pihak NGO, sekali gus menyebabkan rizab margin di pantai timur berada pada negatif.

“Syukurlah kita sekarang ada grid timur-barat iaitu dari Penampang ke Sandakan dan dengan itu, bolehlah kita menghantar kuasa eletrik dari pantai barat ke pantai timur. Jika tidak, masalah bekalan di pantai timur akan bertambah buruk,” katanya.

Madius berharap penduduk Sabah bertenang dan tidak beremosi tinggi menghadapi isu bekalan elektrik di negeri itu, sebaliknya bersama kerajaan dan SESB mencari penyelesaian.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu telah melawat Pejabat SESB Zon Sandakan dan berpeluang meninjau dua janakuasa di daerah itu iaitu Janakuasa Batu Sapi dan Janakuasa Libaran.- BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top