KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan memperkenalkan teknologi baharu untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan elektrik kepada pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts. Mohd Yaakod Hj. Jaafar, mengumumkan bahawa SESB akan menggunakan meter pintar (Smart Meter) yang bertujuan untuk mendorong pengguna menggunakan elektrik dengan lebih efisien dan menjimatkan tenaga.
Menurut beliau, dengan meter pintar ini, pengguna dapat merancang penggunaan elektrik bulanan mereka dan akan menerima notifikasi apabila bil bulanan mendekati had yang ditetapkan.
Katanya, ciri-ciri ini selaras dengan usaha SESB untuk menyokong inisiatif kerajaan dalam memanfaatkan bidang ekonomi digital.
Projek pemasangan meter pintar ini akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan Fasa 1 melibatkan 6,497 unit yang akan dipasang kepada pengguna Kategori Kuasa Tinggi dan pemegang akaun Feed-in-Tariff (FiT).
Dalam fasa percubaan selama dua bulan, sebanyak 60 unit akan dipasang kepada pengguna terpilih bagi memastikan sistem pengebilan berjalan lancar. Pemasangan baki 6,437 unit akan dilakukan setelah fasa percubaan mencapai objektifnya.
Fasa 2 projek ini dijadualkan untuk dilaksanakan pada tahun 2025, dengan sasaran pengguna domestik di Bandaraya Kota Kinabalu dan Wilayah Persekutuan Labuan, selaras dengan tema KK Smart City & WP Labuan Smart Island.