KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan melaksanakan pemotongan bekalan elektrik kepada pengguna yang mempunyai jumlah bil tertunggak melebihi 9 bulan.
Pemotongan akan dilaksanakan selepas 6 Disember 2020 dan pengguna adalah dinasihatkan untuk menjelaskan bil elektrik yang tertunggak bagi mengelakkan pemotongan bekalan ke atas premis dilaksanakan.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir. Norhizami Abu Hasan berkata adalah menjadi tanggungjawab pengguna untuk menjelaskan segera bil elektrik masing-masing setiap bulan walaupun SESB tidak melaksanakan pemotongan sejak Mac 2020 berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di negara ini.
Menurut Ir. Norhizami, keputusan SESB untuk memulakan operasi pemotongan bekalan adalah disebabkan oleh jumlah tunggakan bil pengguna yang telah mencecah jutaan ringgit.
“Rekod kami menunjukkan terdapat kumpulan pengguna yang tidak membayar bil elektrik selama lebih sembilan bulan dan secara tidak langsung keadaan ini akan memberikan impak yang besar kepada SESB,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini.
Notis pemotongan untuk menjelaskan bil akan dikeluarkan kepada pengguna berkaitan bermula pada 24 Nov, 2020 di mana pengguna akan diberikan tempoh selama 7 hari bekerja untuk memastikan tunggakan bayaran bil elektrik mereka dapat dijelaskan terlebih dahulu.
“SESB faham sememangnya ada pengguna yang terkesan dengan PKPB yang sedang dikuatkuasakan sekarang ini, justeru itu, SESB akan memberikan ruang kepada mereka yang mempunyai tunggakan bil elektrik berbincang dengan pihak SESB bagi mencari jalan penyelesaian yang baik,” katanya.
Sehubungan dengan itu, pengguna yang mungkin mempunyai kekangan kewangan untuk menjelaskan tunggakan bil elektrik mereka boleh menghubungi pegawai SESB di pejabat SESB berdekatan bagi tujuan perbincangan kaedah pembayaran yang bersesuaian.
“Nombor telefon pegawai SESB yang berkenaan akan dicetak pada notis pemotongan yang akan diserahkan kepada pengguna dan mereka boleh menghubungi pegawai tersebut untuk sebarang pertanyaan atau penjelasan bagi kaedah penyelesaian pembayaran tunggakan,” katanya lagi.
Bagaimanapun Ir. Norhizami menjelaskan pengguna yang mempunyai tunggakan bil sembilan bulan ke atas yang masih gagal untuk menjelaskan tunggakan bil, mereka terpaksa berhadapan dengan pemotongan bekalan ke premis mereka yang akan dilaksanakan mengikut tarikh yang telah ditetapkan.
“SESB berharap pengguna akan dapat menjelaskan tunggakan bil mereka dengan kadar segera bagi mengelakkan bekalan ke premis mereka terjejas,” katanya lagi.
Pembayaran bil elektrik masih boleh dilakukan melalui pelbagai saluran pembayaran antaranya di Kiosk Pembayaran SESB, Kaunter Pejabat Pos Malaysia Berhad, Perbankan Online, EjenEjen Kutipan antaranya melalui e-Wallet seperti GrabPay, Shopee, Touch & Go, Lazada, MyBoost, Paynow, Panda Marketing Android, Richtech Android.
Manakala bagi e-Pay Terminal boleh dilakukan di Shell, BHP, Petron, Petronas, KK Mart dan Mobility One Terminal di TM Point.
Selain daripada itu, pembayaran melalui kaunter pekhidmatan pengguna SESB juga boleh dilakukan memandangkan kaunter SESB akan mula beroperasi pada 23 Nov 2020.