Sertai PH Bukan Tindakan Tergesa-gesa, Kata Presiden UPKO

madius.jpg
Kongsi Bersama

Keputusan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai parti komponen bukanlah satu tindakan yang tergesa-gesa sebaliknya sudah lama difikirkan, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Madius berkata, UPKO berfikir mahu menyertai PH sejurus selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu, sebagai satu alternatif kepada rakyat yang membawa imej kepelbagaian kaum.

“Dalam hal langkah (gabungan PH) yang kita ambil sebenarnya bukan sesuatu yang baru kita fikir, pada tahun 2018 itu setelah kita bersama dengan parti Warisan menubuhkan kerajaan negeri sabah memang kita sudah menerima inilah (PH) rakan-rakan kita.

“PH ini adalah satu alternatif di mana gabungan dipimpin oleh pemimpin yang menerajui parti yang berbilang kaum,” katanya ketika webinar Peneraju Perjuangan Rakyat: Kebersamaan UPKO Dalam Perjuangan PH di laman Facebook UPKO malam tadi.

Jelasnya, UPKO masih bersama Warisan di peringkat negeri dan gabungan dengan PH membawa harapan agar isu-isu di Sabah dapat dibawa ke peringkat nasional sekaligus dapat memperkukuhkan blok pembangkang.

Beliau berpandangan, tidak seharusnya berlaku perselisihan faham dalam kalangan blok pembangkang dan adalah lebih tenaga yang ada digunakan untuk bersatu padu menambah bilangan blok pembangkang, seperti tindakan UPKO bergabung dengan PH.

“Kita di blok pembangkang janganlah kita berselisih faham, terlalu banyak tenaga diguna untuk menyelesaikan masalah dalaman kita dalam parti pembangkang, sepatutnya kita gunakan tenaga ini untuk perluaskan lagi bilangan dalam blok pembangkang.

“Itulah langkah yang kita (UPKO) ambil, dan masa yang kita ambil untuk menyertai PH adalah tepat pada masanya,” tambah beliau.

Webinar itu disertai pemimpin parti-parti komponen PH lain iaitu Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng , beberapa pemimpin UPKO dengan tontonan lebih 1,000 pengguna Facebook.

Pada 26 Ogos lalu, UPKO yang pernah menjadi sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) dan meninggalkan gabungan itu selepas PRU-14, mengumumkan menjadi parti komponen baharu PH sekali gus memperkukuh kerjasama dalam persiapan menuju PRU-15. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top