Sertai Bersatu Sebab Pembangkang Tidak Mampu Bawa Kemajuan – Mohammadin

mohammadin.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi yang baharu menyertai Bersatu berkata, beliau tidak mampu membawa sebarang kemajuan kepada pengundi kawasannya jika terus menjadi wakil pembangkang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama berkata, Lahad Datu mempunyai empat Dewan Undangan Negeri berkeluasan besar yang memerlukan peruntukan yang banyak untuk dibangunkan setanding dengan kawasan lain.

Justeru, kata bekas pemimpin Warisan itu, beliau melihat Bersatu yang turut berada dalam kerajaan mampu membawa kemajuan kepada kawasan diwakilinya.

“Tiga tahun lebih lagi untuk bertahan dalam pembangkang. Apa yang anda jangka jika saya bertahan di situ? Pembangkang tidak bawa apa-apa,” katanya dalam sidang media menjelaskan sebab beliau menyertai Bersatu.

“Pilihan raya selepas ini saya akan jumpa pengundi saya dan minta undi lagi, apa yang orang akan kata? Bukankah dengan sendirinya itu memberitahu kepada kita tak payahlah nak jumpa rakyat, pasal dah jadi pembangkang lama tiada bawa apa-apa…dan anda kembali kepada rakyat dan minta undi, saya rasa itu bukan perkara yang bagus.”

Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan Mohamaddin secara rasmi menjadi ahli Bersatu selepas permohonannya diterima mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 30 Okt lalu, Mohamaddin mengumumkan keluar daripada Warisan kerana mahu memberi tumpuan memaju dan membangunkan Parlimen Lahad Datu serta DUN Segama.

Mengulas lanjut, Mohamaddin mendakwa Lahad Datu agak terkebelakang dari segi pembangunan menyebabkan beliau nekad menyertai parti itu.

“Jadi dengan harapan saya dah masuk Bersatu, bolehlah bawa manfaat kepada rakyat di kawasan saya,” katanya.

 

Sumber: FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top