Kemunculan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantah proklamasi darurat tidak menjadi kenyataan hari ini apabila presiden PKR itu tidak hadir ke Istana Negara kerana mempunyai beberapa program di kawasannya di Port Dickson.
Kehadiran Anwar dan Mahathir sebelum ini diuar-uarkan penganjurnya, Gerakan Tamat Darurat yang diketuai Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bagi mendesak darurat ditamatkan.
Kehadiran Anwar hari ini sepatutnya menjadi acara pertama yang menggabungkan beliau dengan Mahathir dalam sebuah acara selepas kedua-duanya menjarakkan diri selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh tahun lalu.
Jawatankuasa Tamat Darurat turut menjemput kedua-dua pemimpin itu untuk menyertai delegasi penyerahan petisyen kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi menggesa perintah darurat ditamatkan bersama-sama Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Bagaimanapun seperti Anwar, Lim yang juga bekas menteri kewangan turut tidak kelihatan hari ini.
Antara pemimpin pembangkang yang turut hadir termasuk pemimpin PKR Maria Chin Abdullah, Fahmi Fadzil, dan Tian Chua, Hannah Yeoh dan Teresa Kok dari DAP dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir mewakili Pejuang.
Ini merupakan petisyen kedua diserahkan kepada Agong oleh Jawatankuasa Rayuan Tamatkan Proklamasi Darurat.
Surat pertama diserahkan kepada Agong pada 26 Mac lalu oleh Khalid tetapi menurutnya tiada sebarang jawapan.