Seorang Lagi Anggota ESSCOM Didakwa Bunuh Pemandu E-hailing

mahkamah-tawau.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Seorang lagi anggota polis yang bertugas dalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini semalam atas pertuduhan membunuh pemandu e-hailing pada 13 Januari lalu.

Tertuduh, John Kennedy Sanggah, 44, yang sebelum ini diberikan bon jaminan sebagai saksi pendakwaan hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mahkamah menetapkan 7 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh bersama enam yang sudah dituduh didakwa membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, Tawau antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Januari lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan pasukan pendakwaan terdiri Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, Muhammad Ilmami Ahmad, Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim dan Low Win Hui, manakala John Kennedy diwakili peguam bela Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye.

Terdahulu, Dzul Elmy menetapkan tarikh 7 Julai untuk sebutan semula kes terhadap bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, yang dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun, kerana bersubahat dengan enam individu untuk membunuh lelaki sama.

Sementara itu, di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu, mahkamah menetapkan tarikh sama iaitu 7 Julai depan bagi sebutan semula kes terhadap lima lagi anggota polis dan seorang wanita orang awam membabitkan kes sama.

Semua tertuduh iaitu Rosdi Rastam, 44; Denis Anak Anit, 44; Fabian Anak Rungam, 43; Khairul Azman Bakar, 47; Mohd Azlan Sakaran, 39; dan Vivien Fabian, 34, masing-masing hadir dengan diwakili peguam.-BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top