Senarai Menteri Kabinet Diumum Minggu Ini

ismail-sabri-2.jpg
Kongsi Bersama

YAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan barisan menteri Kabinet kerajaan baharu minggu ini.

Beliau berkata, pada masa ini, beliau belum menyiapkan senarai penuh barisan Kabinet tersebut.

Katanya, beliau akan mempersembah senarai menteri Kabinet itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapat perkenan selepas senarai siap.

“Tunggu pengumuman (nama menteri Kabinet). Senarai belum ada,  saya akan pertimbang semua,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan bencana di Titi Hayun, di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Besar, Muhammad Sanuni Md. Nor.

Ismail Sabri yang merupakan Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Sabtu lalu.

Pada 18 Ogos lepas, Istana Negara menerima pencalonan nama bakal Perdana Menteri daripada 220 ahli Parlimen, masing-masing menerusi surat akuan.

Mengikut surat akuan berkenaan, seramai 114 ahli Dewan Rakyat mencalonkan Ismail Sabri, sekali gus memperoleh jumlah majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Susulan itu, Seri Paduka berkenan menerima menghadap 114 ahli Parlimen kelmarin untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, jawatan Timbalan Perdana Menteri juga belum diputuskan  walaupun ada cadangan .

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai supaya jangan mempercayai senarai nama menteri Kabinet palsu dikeluarkan oleh pihak tertentu.

“Jangan percaya, banyak sekarang ini keluar nama menteri Kabinet, setiap hari ada senarai baharu,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top