KUALA LUMPUR: Menepati jangkaan Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Datuk Seri Dr Adham Baba adalah antara nama-nama besar UMNO yang tidak disenaraikan semula oleh Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi masing-masing pada PRU15.
Nama-nama lain yang tidak disenaraikan ialah Datuk Halimah Mohamed Sadique, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib dan Datuk Mastura Mohd Yazid.
Kesemua mereka adalah penjawat jawatan menteri atau timbalan menteri dalam kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Penyandang jawatan lain yang bukan anggota kabinet tetapi tidak dicalonkan semula ialah Datuk Sri Nazri Abdul Aziz, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Nazri, Idris dan Ahmad Nazlan sejak mula menyatakan hasrat untuk tidak bertanding, manakala Tajuddin pula gugur mungkin disebabkan kritikan-kritikan kerasnya terhadap kepimpinan parti mutakhir ini.
Sementara itu tiga anggota kabinet Ismail Sabri yang terselamat ialah Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dicalonkan semula di Padang Terap, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas) dan Khairy Jamaluddin yang dipindahkan ke Sungai Buloh.
Pada pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi hanya enam kerusi yang belum dinamakan calonnya iaitu Tumpat, Kuala Nerus, Tanjong Karang, Kepong, Jempol dan Kuala Pilah.
Bagi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pula walaupun tersenarai nama Chew Yin Keen sebagai calonnya, namun ia tidak disebut oleh Zahid atas sebab-sebab yang tidak diketahui.
Pengumuman nama calon itu juga tidak melibatkan calon BN di Sabah kerana BN Sabah akan membuat pengumuman berasingan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dijadualkan hari ini (2 Nov 2022).