Semua Pihak Perlu Ambil Serius Keselamatan dan Kebajikan Sosial Pekerja – Shahelmey

shahelmey-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir. Shahelmey Yahya meminta agar semua pihak untuk bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan semua individu mendapat perlindungan pekerjaan.

Jelasnya, ini termasuk mereka yang berkerja sendiri dan berdagang secara atas talian.

“Dalam kita mengharungi pandemik covid 19 ini banyak kejadian-kejadian atau isu-isu yang melibatkan pekerja telah terjadi.

“Pada zaman teknologi digital ini kita mempunyai lebih ramai pekerja-pekerja yang berkerja sendiri dan saya difahamkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mempunyai skim perlindungan untuk mereka yang bekerja sendiri dan mereka yang berdagang secara ‘online’.

“Kita harus sama-sama berusaha untuk menyedarkan majikan dan juga pekerja agar tidak memandang rendah dan terus menyertai program perlindungan yang diadakan oleh PERKESO ini,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PERKESO di Wisma Perkeso pagi tadi.

Shahelmey juga berkata sejajar dengan jangkaan Malaysia ke arah Negara Warga Tua menjelang 2030, skim-skim faedah berkenaan warga emas perlu dipertimbangkan.

“Skim-skim kebajikan ataupun perlindungan dan keselamatan sosial bagi warga emas perlu dilihat atau disediakan bermula dari sekarang bagi kita menghadapi tahun 2030 dan seterusnya nanti,” katanya.

Selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PERKESO, Shahelmey bersama Pengarah PERKESO Negeri Sabah Dr. Mohd Ali Hindia ke Putatan untuk menziarahi beberapa pencarum PERKESO yang merupakan penerima faedah skim keilatan  akibat daripada kemalangan dan sakit.

Penerima faedah mendapat pencen bulanan seumur hidup dan faedah pemulihan bulanan seperti susu, lampin pakai buang, kerusi roda dan keperluan-keperluan lain yang disarankan oleh pegawai perubatan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top