KOTA KINABALU: Program Vaksinasi Covid-19 di Sabah akan meliputi semua penduduk yang tinggal di negeri ini termasuk warga asing dan juga pendatang tanpa izin (PTI).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, hasrat kerajaan adalah memberikan vaksinasi kepada semua orang yang tinggal di Sabah bagi memastikan tiada individu yang akan menyebabkan jangkitan Covid-19 terus berlaku.
“Untuk makluman, kerajaan telah memutuskan untuk memperluaskan pemberian vaksin secara percuma kepada rakyat asing termasuk PATI yang tidak mempunyai dokumen yang sah.
“Langkah ini selari dengan tema Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan iaitu ‘Lindungi Diri, Lindungi Semua’ dan pendekatan ‘tiada yang selamat, sehingga semua adalah selamat’,” katanya semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, hari ini.
Beliau berkata, program vaksinasi Covid-19 yang dijangkakan bermula 26 Feb akan disempurnakan dalam tiga fasa.
Katanya, fasa pertama akan melibatkan petugas- petugas barisan hadapan, fasa kedua melibatkan populasi yang mempunyai komorbiditi seperti warga emas dan penghidap penyakit kronik, manakala fasa ketiga akan meliputi warganegara lain yang berumur 18 tahun ke atas.
Fasa pertama dijangkakan bermula dari 26 Feb sehingga April ini dan ia akan dilaksana secara serentak di seluruh negara.
Untuk fasa kedua dan ketiga pula dijangkakan bermula dari April dan berterusan sehingga Februari 2022. Sabah menyasarkan kira-kira 3 juta penduduk Sabah akan menerima vaksinasi sehingga tarikh itu.