Semua Pekerja Perladangan Di Sabah Diarah Jalani Ujian Covid-19

pekerja-ladang.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 dalam sektor perladangan di Sabah, semua pekerja terbabit diarah menjalani ujian saringan Covid-19, bermula hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, saringan akan dibuat dalam tempoh 30 hari membabitkan 153,250 pekerja daripada 1,160 ladang dan 33,034 ladang pekebun kecil.

Beliau berkata, setakat semalam, enam kluster dikesan dalam sektor perladangan menerusi pelaksanaan ujian saringan pekerja asing di bawah program Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Kerajaan melahirkan kebimbangan terhadap situasi perkembangan kes Covid-19 membabitkan sektor perladangan sawit di Sabah.

“Daripada enam kluster membabitkan sektor perladangan yang dicatatkan, 254 kes positif melibatkan pekerja, kontak rapat keluarga serta individu bergejala yang tidak bekerja di ladang,” katanya dalam kenyataan.

Hajiji berkata, ladang yang mempunyai kes Covid-19 akan ditutup operasinya serta-merta bagi memastikan kerja pencegahan dilaksanakan.

Katanya, pembukaan semula operasi kilang yang ditutup itu tertakluk kepada penilaian Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kerajaan akan memantau perkembangan situasi kes Covid-19 di sektor perladangan sawit di Sabah dari semasa ke semasa dan memastikan pematuhan SOP ditetapkan KKM.

“Selain itu, kerajaan juga menasihatkan semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.”

Hajiji berkata, kerajaan menghargai inisiatif pemain industri perladangan yang melaksanakan “lockdown” atau sekatan pergerakan pekerja secara sukarela bagi mencegah penularan Covid-19.

“Hanya wakil pengurusan dibenarkan keluar masuk untuk mendapatkan bekalan serta keperluan asas.

“Selain itu, antara yang dibenarkan melakukan pergerakan ialah petugas saringan Covid-19, pekerja pengangkutan hasil ladang serta anggota pengurusan yang diberi kebenaran.”

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top