Semua Jawatan Upko Terbuka Untuk Ditandingi – Madius

ewon-madius.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Setiap jawatan dalam Upko terbuka untuk dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang, kata presidennya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Katanya, pemilihan itu adalah satu proses demokrasi dan bimbingan perjuangan Upko untuk rakyat, khususnya di Sabah.

“Upko akan mengadakan perhimpunan agung tritahunan pada tahun ini dan seperti semua parti politik, sudah tentu akan ada ahli parti yang ingin mengambil peluang ini untuk menyumbang kepada kemajuan parti dengan mahu memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam parti.

“Di Upko, kami mengalu-alukan semangat dan komitmen seperti itu daripada ahli-ahli kami,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Madius yang juga ahli parlimen Tuaran, berkata Upko juga memahami cabaran dihadapi parti itu lebih-lebih mereka adalah pembangkang.

“Sebagai pembangkang, ia akan mengundang pelbagai idea dan cadangan tentang bagaimana Upko harus meletakkan dirinya membawa teraju perjuangan dan untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat, lebih-lebih lagi ketika pilihan raya umum semakin hampir.

“Namun, apa yang sama penting adalah saya yakin dan berasa selesa apabila mengetahui pemilihan pucuk pimpinan baharu pada ,perhimpunan agung tri tahunan tahun ini akan berlandaskan kepada memastikan perpaduan, kekuatan dan keikhlasan dalam perjuangan Upko sentiasa terpelihara, dijaga dan dipertahankan,” katanya.

Kelmarin, Naib Presiden Upko Datuk Ewon Benedick memberi bayangan akan bertanding jawatan tertinggi parti itu dalam pemilihan akan datang.

Katanya, beliau bersedia menawarkan rekod kepimpinan dan perkhidmatannya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian untuk ahli membuat keputusan.

“Saya tidak mencabar sesiapa, tetapi saya ingin menawarkan rekod kepimpinan saya di Kadamaian kepada ahli-ahli parti.

“Sekiranya mereka beranggapan rekod ini boleh diangkat menjadi inspirasi baharu kepada parti dan jika mereka percaya masanya sudah tiba, saya bersedia mengambil cabaran tersebut,” katanya.

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top