Semporna komited pastikan kebersihan, hospitaliti dan kesihatan ditingkat

semporna.jpg
Kongsi Bersama

SEMPORNA: Pemain industri pelancongan termasuk pengusaha penginapan serta makanan dan minuman di Semporna komited memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam memastikan isu kebersihan, hospitaliti serta kesihatan di daerah ini ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Pegawai Daerah Semporna Alexander Liew berkata satu sesi libat urus oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan bersama pemain industri pelancongan diadakan pada Selasa bagi mendapatkan pandangan berkaitan isu hospitaliti, kebersihan serta kesihatan.

Beliau berkata semua pihak terlibat juga akan mengadakan program gotong-royong setiap bulan dan berharap program itu akan disertai penduduk serta sektor swasta.

“Kita semua tidak mahu notis merah dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sampai ke Semporna, sebab itu kerjasama semua pihak itu penting, dan pengusaha memberi kerjasama untuk menjaga kebersihan di daerah Semporna ini.

“Pihak berkuasa tempatan Majlis Daerah Semporna juga bekerja untuk menjaga kebersihan di Semporna dan apa yang kita lihat berbanding Semporna dahulu, sekarang lebih jauh bersih meskipun dari segi keracunan makanan, itu suatu isu terpencil,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sesi libat urus pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan bersama hampir 300 pemain industri pelancongan di sini semalam.

Pada 17 Ogos lepas, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing memberi amaran akan menghantar notis merah ke Semporna jika isu kebersihan, keracunan makanan serta hospitaliti melibatkan sektor pelancongan di daerah itu tidak dapat diselesaikan.

Pegawai Kesihatan Semporna Dr Sahrol Nizam Abu Bakar berkata pihaknya tidak menerima aduan berkaitan keracunan makanan membabitkan pelancong asing seperti dakwaan Tiong, namun Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) Kementerian Kesihatan (KKM) mencatatkan dua kes keracunan makanan pelancong tempatan pada Mei tahun ini.

“Pelancong itu menginap di Semporna bersama keluarga dan sebelum hari dia balik mengalami cirit birit, dan rawatan dia terima sama ada di Kuala Lumpur atau tempat di mana dia tinggal, ini maklumat yang diterima adalah melalui SisPAA yang kemudian disalurkan kepada Pejabat Kesihatan Semporna.

“Saya harap aduan terus diberikan kepada pejabat kesihatan kerana kita boleh buat siasatan segera. Sebanyak 367 premis makanan dan minuman diperiksa bermula awal tahun ini hingga 16 Ogos lalu dengan 66 notis kompaun dikeluarkan,” katanya.

Dr Sahrol Nizam berkata pejabat kesihatan daerah juga sedang menjalankan pemeriksaan semula semua dapur resort, hotel dan kedai makan bermula 18 hingga 27 Ogos ini.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Stanley Chong Hon Chung berkata setiap tahun Kerajaan Sabah membelanjakan RM2 juta untuk membersihkan laut di Semporna.

Beliau berkata pihaknya juga menyediakan dua bot pemungut sampah untuk mengurangkan sampah di kawasan laut dan membantu memudahkan cara pengurusan sampah di daerah ini.

“Pihak berkuasa tempatan juga menyediakan satu platform kesihatan bandar dengan kerjasama pihak kesihatan untuk pastikan kebersihan di Semporna. Jangan diberi notis merah hanya disebabkan beberapa isu yang boleh kita selesaikan ini, nanti pengusaha pelancongan semua kena tutup,” katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top