Semporna Berpotensi Jadi Hub Pelancongan Dunia

semporna.jpg
Kongsi Bersama

SEMPORNA: Daerah Semporna layak dan berpotensi menjadi hub pelancongan dunia sebagaimana Pulau Hawaii, Pulau Mauritius dan Pulau Canary.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Datuk Askalani Abdul Rahim berkata, keindahan alam semulajadi yang bersifat maritim wujud di Semporna dan merupakan anugerah semulajadi untuk dihayati, dimajukan, dijaga dan diambil faedahnya oleh penduduk, kerajaan dan pihak pemaju pelancongan dengan pemantauan oleh pihak kementerian serta jabatan berkaitan.

“Selain Pulau Sipadan, terdapat juga beberapa pulau lain misalnya Pulau Mabul, Pulau Timba-Timba, Pulau Pandanan, Pulau Pompom, Pulau Bohe’an, Pulau Mataking dan Pulau Kulapuan yang boleh dimajukan untuk menjadi pusat tarikan pelancong bertaraf dunia.

“Dalam konteks ini, Taman-Taman Sabah, pihak lembaga telah melakukan banyak tindakan proaktif untuk kelestarian alam sekitar di Semporna yang sekaligus bakal menjadi tarikan kepada industri pelancongan,” katanya semasa melancarkan Pesta Laut Bajau Semporna 2021 dan Pemilihan Pulau Mabul, Semporna Sebagai Pintu Gerbang Pelancongan Bertaraf Dunia di Dewan Masyarakat, pada Khamis malam.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak arkeologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Muzium Negeri Sabah telah mengiktiraf wujudnya petempatan prasejarah di Bukit Tengkorak, Malanta Tutup dan Bukit Kemiri.

“Difahamkan melalui kajian arkeologi, Bukit Tengkorak merupakan pusat pembuatan tembikar dan dapur tanah liat terbesar di Asia Tenggara 4000 tahun yang lalu dan penyebaran tembikar serta dapur tanah liat yang dikenali sebagai ‘lapohan’ dari kawasan ini sehingga ke Kepulauan Solomon di utara Australia.

“Kerajaan negeri mempromosikan dan merancakkan lagi industri pelancongan di negeri ini secara amnya khususnya di Semporna,” ujarnya lagi.

Hadir sama, Pegawai Daerah Semporna, Juraimin Jadil dan Pengerusi Pesta Laut Etnik Bajau dan Pesta Regatta Lepa 2021, Datuk Hajan Gurimbang. – Warta Oriental

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top