Semoga Ini Hari Merdeka Terakhir Disambut Dalam Covid-19 – PM

PM-Ismail.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Kemerdekaan sebenar Malaysia ke-64 kali ini ialah memerangi pandemik COVID-19 sebagai musuh paling utama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memerangi pandemik COVID-19 dan kejayaan ini akan membuka jalan kepada pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu.

“Ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, keyakinan pelabur harus dikembalikan.

“Individu yang mengenali sejarah akan memiliki jati diri yang kukuh dan saling menghormati.

“Perkara paling utama ialah, mereka akan memiliki fikiran yang fokus dalam mengatasi apa pun cabaran sebagai sebuah keluarga besar, Keluarga Malaysia,” ujarnya dalam Perutusan Hari Kebangsaan ke-64, malam tadi.

Justeru Ismail Sabri berkata, pada sambutan ke-64 kemerdekaan tanah air ini, semua pihak perlu membulat tekad untuk memulihkan negara.

Katanya, beliau amat berharap tahun ini menjadi tahun terakhir negara merayakan Sambutan Hari Kemerdekaan dalam suasana peperangan melawan pandemik COVID-19.

“Marilah kita memerdekakan negara kita daripada pandemik ini, daripada kegawatan ekonomi dan daripada ketidakstabilan politik.”

Kata beliau, cabaran yang sedang kita hadapi hari ini belum pernah ditempuhi sebelum ini.

“Kini kita berdepan dengan beberapa cabaran serentak iaitu wabak penyakit dan kegawatan ekonomi. Di mana, ia menggugat kestabilan politik negara kita dan di seluruh dunia.

“Oleh itu, saya ingin menyeru kepada Keluarga Malaysia agar segeralah mendapatkan vaksin sebagai salah satu ikhtiar pemulihan negara.

“Vaksin telah terbukti memberi impak positif terutamanya dalam usaha memerangi wabak ini.

“Berpandukan data dan fakta, yakinlah bahawa hanya melalui kerjasama penuh daripada semua pihak, peperangan melawan pandemik COVID-19 akan berakhir dengan kemenangan,” katanya.

Ismail Sabri turut menyeru rakyat untuk bersama-sama memulihkan negara yang telah terbina tanpa mengira batasan agama, bangsa dan kaum.

“Kita mahu mempunyai semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Ismail Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun H.S. Lee dan Tun V.T. Sambanthan.

“Ini termasuklah kebersamaan tokoh-tokoh dari Sabah dan Sarawak seperti Tun Datu Mustapha, Tun Muhammad Fuad Stephens, Tun Abdul Rahman Ya’kub dan Tun Temenggong Jugah terhadap pembentukan Malaysia. Semangat kebersamaan inilah yang perlu kita warisi untuk memulih dan membina negara.

“Saya bagi pihak seluruh Keluarga Malaysia mengalungkan setinggi- tinggi penghargaan kepada tokoh-tokoh negara yang sangat berjasa ini, yang telah pergi meninggalkan kita.

“Nilai kemerdekaan negara ini terus dipelihara oleh kesemua Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selamat mensyukuri Ulang Tahun Kemerdekaan Yang Ke-64. Malaysia Prihatin, Dirgahayu Tanah Airku!” ucap beliau.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top