Sementara tunggu reka bentuk baharu JKR, jalan berlubang di Ranau diturun taraf

shahelmey-2.jpg

Datuk Ir Shahelmey Yahya (gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Untuk sementara waktu sebahagian jalan di Kilometer 8 Kampung Kinarasan di Ranau yang rosak dan berlubang telah diturun taraf menjadi jalan tidak berturap.

Langkah itu diambil disebabkan kegagalan dalam menurap jalan tersebut, demikian kata Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian hari ini.

“Semalam saya dapat laporan daripada jurutera daerah Ranau yang menyatakan bahawa memang seksyen jalan tersebut rosak mengalami masalah kegagalan dalam penurapan.

“Jadi seksyen tersebut diturun tarafkan menjadi jalan ‘gravel’ buat sementara waktu dan diselenggara setiap bulan sementara menanti reka bentuk ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kerja pembaikan seterusnya yang dijangka tahun ini juga,” kata Shahelmey kepada pemberita di Masjid Daerah Putatan, di sini pada Ahad.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas isu jalan tersebut yang dilaporkan Sinar Harian pada Jumaat.

Jalan tersebut merupakan laluan utama bagi menghubungkan antara daerah Ranau dan Tambunan selain sering digunakan penduduk kampung untuk berulang alik ke Pekan Ranau.

Diminta mengulas lanjut berkaitan isu jalan berlubang sering mendapat perhatian masyarakat menerusi gambar dan video tular, Shahelmey memaklumkan bahawa beliau ada mengadakan mesyuarat bersama JKR dan semua konsesi yang terlibat berhubung jalan raya di negeri ini.

“Saya cuba memahami selain masalah teknikal adakah masalah lain seperti pengurusan dan kewangan terlibat. Sebenarnya masalah teknikal seperti jalan sudah melebihi had umur reka bentuk dan kedua isu bebanan melebihi had terhadap jalan terutama di kawasan Telupid sehingga ke Tawau.

“Di kawasan tersebut, kiri dan kanan jalan ada aktiviti perladangan kelapa sawit dan ada bebanan yang melebihi muatan dikenakan di atas jalan yang sudah uzur, ditambah lagi dengan keadaan jalan yang basah sudah tentu ini mempercepatkan lagi kerosakan struktur dan permukaan jalan di negeri ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau sentiasa meminta JKR dan konsesi memastikan jalan yang mengalami kerosakan diselenggara supaya selamat digunakan pengguna jalan raya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top