Sembilan Sungai Di Kuala Penyu Perlukan Penyelenggaraan Untuk Elak Banjir

Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KUALA PENYU: Sekurang-kurangnya sembilan sungai di daerah Kuala Penyu dikenal pasti Jabatan Pengairan dan Saliran daerah memerlukan penyelenggaraan bagi mengelak beberapa kampung di daerah ini dilanda banjir kilat.

Sungai-sungai itu ialah Sungai Kerukan, Menunggang, Kasugira ,Melampai, Kilugus, Kelampun, Papas dan Ruyut.

Berikutan itu, Ketua Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Kuala Penyu, Jonas Sunggim meminta pihak kerajaan supaya menjalankan penyelenggaran untuk membaik pulih keadaan sungai-sungai itu yang menjadi cetek akibat hakisan dan ditumbuhi semak-samun.

Katanya, sebahagian sungai tersebut telah mengakibatkan banjir kilat berlaku di beberapa kampung baru-baru ini.

“Sebelum ini tidak pernah berlaku banjir di kampung-kampung di Kuala Penyu namun keadaan sungai yang terbiar dan tidak diurus sebagaimana sepatutnya mengakibatkan terjadinya banjir kilat ketika musim hujan,” katanya di sini.

Beliau menyatakan perkara itu selepas melakukan tinjauan di sungai terbabit bersama Penguasa Jabatan Pengairan Saliran Kuala Penyu, Patrick Vitalis Juin, baru-baru ini.

Menurut beliau, pihaknya sudah berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran daerah supaya mengemukakan cadangan terbaik kepada kerajaan agar keadaan sungai-sungai berkenaan dapat diselenggara termasuk melebarkannya selain melakukan kerja-kerja pembersihan..

“Kita mencadangkan supaya kerajaan negeri dan persekutuan menyediakan peruntukan khas kepada jabatan berkenaan agar sungai terbabit dapat dipulihkan dan dapat berfungsi serta tidak menjadi punca berlakunya ┬ábencana seperti banjir,” katanya.

Baru-baru ini, beberapa kampung di daerah ini telah dilanda banjir menyebabkan rumah penduduk ditenggelami air dan menimbulkan pelbagai kesulitan kepada mereka termasuk kerosakan dan kehilangan harta benda.

Jonas berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berulang lagi dan ia boleh dielakkan sekiranya keadaan sungai-sungai yang ada dapat dipulihkan semula bagi mengelak limpahan air dari kawasan sungai.

Katanya, beliau juga sudah memaklumkan masalah itu kepada Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Guandee Kohoi supaya ia dapat diambil tindakan oleh kerajaan negeri dan persekutuan.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *