TAWAU: Sekurang-kurangnya sembilan keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas satu blok rumah kongsi pekerja musnah dalam kebakaran di Jalan Pengkalan Kalabakan, kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.01 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 91 Kilometer bagi menjalankan operasi pemadaman dan dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sembilan pintu dalam satu blok rumah kongsi pekerja musnah dalam kebakaran berkenaan.
“Pasukan bomba menggunakan dua aliran daripada sumber air terbuka iaitu kolam berhampiran dalam operasi yang dijalankan itu,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Menurutnya, semua penghuni rumah berkenaan berjaya keluar menyelamat diri dan tiada mangsa yang dilaporkan cedera atau melalangan jiwa berlaku.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.47 petang,” katanya. – Sabah Baru News