Sembilan Nama Dijangka Bersaing Rebut Jawatan Naib Presiden UMNO

PAU-Umno.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Sembilan pemimpin UMNO disebut-sebut akan bertanding merebut tiga jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti itu tidak lama lagi.

Sumber rapat memberitahu BH, bekas Perdana Menteri dan penyandang Naib Presiden paling kanan, Datuk Seri Ismail Sabri dikatakan tidak bertanding mempertahankan jawatannya.

Menurut sumber itu, dua Naib Presiden iaitu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dijangka akan mempertahankan jawatan masing-masing.

“Hari terakhir penyerahan borang pada 23 Februari, tetapi saya boleh katakan jawatan Naib Presiden akan ditandingi sembilan nama.

“Tujuh yang lain adalah daripada kalangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT),” katanya kepada BH, semalam.

Tujuh ahli MKT yang disebut-sebut bertanding jawatan Naib Presiden ialah Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

“Sementara tiga lagi adalah bekas Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang tewas di Parlimen Lumut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Selain itu, bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dijangka akan bertanding merebut jawatan itu seterusnya bersaing dengan penyandangnya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang dijangka akan mempertahankan jawatan itu.

Bagi jawatan Ketua Puteri UMNO pula, sumber itu menjelaskan terdapat enam nama yang akan bersaing iaitu Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai, Dr Masliha Harun; Ahli MKT Wanita dan Naib Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi serta ahli MKT, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

“Selain itu, mereka yang lain adalah Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuantan, Cik Fadwah Anuwar atau mesra dipanggil Wawa; Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin dan Penolong Setiausaha Puteri, Asuma Beevi Mohamed Sali,” katanya.

Setakat ini, Setiausaha Pemuda, Datuk Hasmuni Hassan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah sudah menawarkan diri bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda manakala Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi belum menyatakan hasrat bertanding. – BH

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top