KOTA KINABALU: Sembilan daerah akan kekal dengan status sebagai sebuah daerah dan tidak termasuk dalam mana-mana zon apabila Sabah beralih ke sistem zon bermula hari ini (1 Oktober).
Daerah-daerah tersebut ialah Kinabatangan, Telupid, Tongod, Sandakan, Kalabakan, Tawau, Papar, Semporna dan Nabawan yang dikategorikan sebagai daerah masing-masing (stand alone district).
“Ini kerana daerah-daerah ini masih belum mencapai kadar 60% vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa,” jelas Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam kenyataan media pada Khamis.
Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata, peralihan ke sistem zon itu melibatkan 18 daerah yang dibahagikan kepada lima kawasan zon.
Jelasnya, bermula 1 Oktober, Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tuaran, Ranau dan Kota Belud akan menjadi Zon 1, sementara Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu dalam Zon 2; Kudat, Kota Marudu, Pitas dan Beluran dalam Zon 3; Lahad Datu dan Kunak dalam Zon 4; dan di bawah Zon 5 adalah Keningau, Tambunan dan Tenom.