Semak Semula Perjanjian, Kontrak Agensi, GLC Yang Tidak Berprestasi

hajiji-2.jpg

Hajiji ketika mempengerusikan mesyuarat pada Isnin.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menggesa kajian semula segera dibuat terhadap semua perjanjian dan kontrak membabitkan agensi kerajaan tidak berprestasi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menyebabkan kerajaan kehilangan hasil.

Beliau turut mengingatkan pegawai yang ditugaskan sebagai penandatangan perjanjian dan kontrak terbabit supaya mengambil kira kepentingan negeri.

“Sebab itu saya ingin tegaskan di sini bahawa mana-mana agensi kerajaan apabila membuat perjanjian, mesti memastikan ia (perjanjian) mengambil kira kepentingan negeri. Pegawai terbabit termasuk pegawai undang-undang mesti melihat dan meneliti dengan teliti kandungan perjanjian itu,” kata Hajiji selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah ke-120 di Menara Kinabalu pada Isnin.

Ketua Menteri, yang juga pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, turut mengumumkan pencapaian Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), jentera pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah yang berjaya meningkatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM424 juta berbanding RM112 juta pada 2020.

“Peningkatan ini ialah RM312 juta atau empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Ini menjadikan ia peningkatan tertinggi yang dicatatkan oleh ICSB dalam tempoh sembilan tahun,” katanya sambil menambah bahawa bagi hasil Kumpulan ICSB, terdapat peningkatan ketara daripada RM819 juta pada 2020 kepada RM1.2 bilion pada 2021.

Peningkatan sebanyak 45 peratus atau RM369 juta adalah yang tertinggi dicatatkan oleh ICSB sejak 2013.

“Bagi Kumpulan Yayasan Sabah, lebihan sebelum cukai pada 2021 ialah RM358.12 juta, berbanding lebihan pendapatan sebelum cukai 2020 sebanyak RM18.5 juta, meningkat RM339.62 juta atau 1836 peratus,” katanya.

Peningkatan ketara dalam lebihan pendapatan sebelum cukai pada 2021 adalah berikutan peningkatan hasil pada 2021 yang berjumlah RM1.2 bilion berbanding hasil pada 2020 yang berjumlah RM830.43 juta.

Ketua Menteri juga mahu melihat anak-anak syarikat ICSB diperkasakan supaya mereka tidak menjadi beban dan masalah kepada Yayasan Sabah.

“Pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah dan Board Of Governor UCSF (University College Sabah Foundation) dan Naib Canselor baharu umpamanya, kita harap dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi UCSF.

“Begitu juga dengan Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS), saya mahu masalah yang dihadapi dapat diatasi dengan pantas dan dapat menarik lebih ramai pelajar baharu sekali gus membuka peluang lebih ramai anak Sabah melanjutkan pelajaran khususnya dalam bidang teknikal,” katanya.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan; pengarah Yayasan Sabah dan pengerusi eksekutif ICSB, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; Ketua Konservator Hutan Datuk Frederick Kugan; Lembaga Pemegang Amanah dan pegawai kanan Yayasan Sabah.

Ketua Menteri turut mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan ahli lembaga pengarah baharu iaitu Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Zainudin Aman dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Tah Nia Jaman.

Beliau berharap kerjasama mereka akan membantu Kumpulan Yayasan Sabah terus cemerlang dan maju.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top