Seluruh Sabah Kini Zon Merah

zon-merah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seluruh Sabah bertukar kepada zon merah pada hari ini selepas Nabawan yang menjadi daerah terakhir berada dalam zon jingga kelmarin, mencatat pertambahan lapan kes baharu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata ia menjadikan semua 27 daerah di seluruh negeri berada dalam zon sama buat kali pertama sejak pandemik COVID-19 melanda negara lebih setahun lalu.

“Hari ini semua 27 daerah di Sabah adalah zon merah,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Tawau menjadi daerah pertama diisytihar zon merah di Sabah pada 29 Mac tahun lalu, diikuti Kota Kinabalu diisytihar zon merah kedua pada 17 April tahun lalu, sebelum disusuli daerah lain.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, berkata kes harian COVID-19 di Sabah kekal tinggi dengan 1,247 kes dilaporkan pada Isnin, berbanding 1,379 kes pada hari sebelumnya.

Beliau berkata, walaupun ada sedikit penurunan, jumlah kes masih mencatat empat angka yang menggambarkan situasi COVID-19 di Sabah kekal pada paras membimbangkan.

Seperti biasa, katanya, saringan kontak rapat kekal penyumbang tertinggi iaitu sebanyak 770 kes atau 62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes semalam.

“Kes melalui saringan bergejala juga masih tinggi dengan 295 kes atau 24 peratus daripada jumlah kes, diikuti 87 kes (tujuh peratus) melalui saringan kluster sedia ada.

“Seramai 842 orang dijangkiti COVID-19 hari ini (Isnin) adalah dalam kategori satu dan dua, diikuti 11 orang dalam kategori tiga, lima orang dalam kategori empat dan dua orang dalam kategori lima.

“Sebanyak 31 peratus daripada kes dilaporkan masih dalam siasatan untuk menentukan kategori jangkitan atau sakit mereka,” katanya.

Sebanyak 11 kematian turut direkodkan di Sabah semalam iaitu tiga kes di Tawau, masing-masing dua kes di Tuaran dan Papar serta masing-masing satu kes di Kota Marudu, Ranau, Kota Kinabalu dan Penampang.

Masidi berkata, seramai 858 pesakit pula dilaporkan sembuh, manakala seramai 4,447 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,064 orang di hospital, diikuti 3,409 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam, 79 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara, manakala lima orang di fasiliti swasta.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top