Seluruh Luar Bandar Sabah Terima Bekalan Air Terawat Menjelang 2035

bekalan-air.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri dan persekutuan menyasar untuk membekalkan air terawat ke seluruh kawasan luar bandar Sabah menjelang 2035, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Limus Jury (PN-Kuala Penyu) berkata bagi merealisasikan hasrat itu, RM2.53 bilion telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan projek tersebut sedang dilaksanakan selain ada yang masih dalam peringkat kajian.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) (Kerajaan) Persekutuan meluluskan tambahan bajet bagi projek Bekalan Air Luar Bandar sebanyak RM450 juta,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (BN-Usukan) yang bertanya tentang inisiatif mengatasi isu bekalan air luar bandar Sabah.

Beliau berkata kerajaan negeri diharap dapat menyediakan peruntukkan tambahan bagi melaksana kerja awalan projek bekalan air tersebut seperti reka bentuk, pengambilan tanah, kajian tanah dan kerja-kerja pengukuran tanah.

Katanya kementerian itu juga mengorak langkah menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan bandar antaranya merancang projek Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa 3 menyasarkan penyelesaian masalah bekalan air di Kota Kinabalu dan Papar.

Menjawab soalan lisan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (PN-Nabawan) tentang projek infrastruktur asas kawasan pedalaman Sabah, Limus berkata projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) menyasarkan 99.99 peratus kawasan luar bandar Sabah menerima bekalan elktrik menjelang 2025.

Beliau berkata bagi tempoh 2020 hingga 2022 sebanyak 68 kampung dengan 1,884 rumah disasar memperoleh bekalan elektrik menerusi projek BELB di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Pelaksanaan projek BELB dicadangkan untuk dilaksana dalam RMK12 dan program ini secara keseluruhan akan memberi manafaat kepada 318 kampung dengan 16,464 rumah,” katanya.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top