Selit Dompet Berisi RM15,240 Dalam Seluar Ketika Urus Niaga Dadah

dadah-kota-marudu.jpg
Kongsi Bersama

KOTA MARUDU: Kegiatan dua lelaki yang aktif mengedar dadah di sekitar Pitas sejak kebelakangan ini akhirnya tumpas apabila ditahan polis, pada 9.30 malam semalam.

Kedua-dua suspek ditahan pasukan rondaan Cegah Jenayah Balai Polis Pitas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu di dalam kereta Proton Wira di bahu jalan hadapan bank di Pitas, ketika sedang menjalankan urus niaga jual beli dadah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, polis turut menahan seorang wanita tempatan dipercayai rakan kepada suspek.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap ketiga-tiga suspek berusia 22 hingga 40 tahun itu menemui 24 peket plastik lutsinar berbagai saiz berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah syabu seberat 34 gram.

“Polis turut merampas dompet mengandungi wang tunai RM15,240 yang diselit di bahagian depan seluar wanita berkenaan.

“Selain itu, turut dirampas motosikal Yamaha disyaki milik salah seorang suspek,” katanya ketika dihubungi, pada Jumaat.

Zairolnizal berkata, hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Beliau berkata, mereka yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu kini direman sehingga 30 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15(1) akta sama. – hmetro


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top