SELINGAN: Seorang Nenek Di Sebuah Kelas

shade.jpg
Kongsi Bersama

Sepanjang hidupnya, seorang wanita di Nigeria ini tidak pernah menjejakkan kakinya di bilik darjah namun ia tidak bermakna dia harus berhenti mengejar mimpinya untuk mendapatkan pendidikan.

Kini, Shade Ajayi yang berusia 50 tahun akhirnya berpeluang belajar di sekolah bersama-sama beratus pelajar yang empat dekad lebih muda daripadanya.

Walaupun mungkin kelihatan agak janggal apabila menjadi pelajar paling tua di dalam kelas namun ia langsung tidak menganggu fokus Ajayi untuk memastikan dia tidak lagi seorang yang buta huruf.

Sama seperti pelajar lain, dia turut mengenakan pakaian seragam sekolah dan topi berwarna merah jambu di sebuah sekolah di Ilorin, barat negeri Kwara, Nigeria.

“Saya langsung tidak berasa malu mengenakan pakaian seragam ini,” katanya.

Ketika zaman kanak-kanaknya, wanita itu tidak berpeluang ke sekolah kerana bekerja di kedai milik ibu saudaranya.

Dia kini menjalankan perniagaannya sendiri dengan menghasilkan dan menjual dompet serta beg buatan tangan namun cabaran utamanya ialah dia tidak pandai membaca dan menulis.

Disebabkan itu, dia mendaftar untuk mengikuti sesi persekolahan lalu namun sekolah ditutup akibat pandemik Covid-19.

Ajayi berjaya menyesuaikan diri dengan baik biarpun dirinya dikelilingi dengan pelajar berusia sekitar 11 hingga 13 tahun.

Gurunya, Nasrat Busari berkata, wanita terbabit kelihatan agak selesa biarpun dia adalah pelajar yang paling matang di dalam kelas.

“Dia boleh menyesuaikan diri dengan baik, bermain bersama-sama, berinteraksi dan berbincang dengan pelajar lain,” katanya.

Manakala anak perempuannya, Shola Adeboye pula berkata, dia pada mulanya agak malu dengan status baru ibunya sebagai pelajar namun kini boleh menerimanya.

“Ibu sentiasa ingin belajar dan mendapatkan pendidikan tetapi tidak ada peluang,” katanya.

Ajayi masih menghasilkan beg dan dompet sebaik tamat sesi kelasnya pada jam 4 petang dan mempunyai pembantu menjaga kedainya sepanjang waktu persekolahan.

Dia berharap dapat melanjutkan pendidikannya untuk tempoh empat tahun lagi kerana ia boleh membantunya menjalankan perniagaan.

“Orang di sekeliling saya semuanya boleh membaca dan menulis menyebabkan mereka berjaya dalam perniagaan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai orang yang mentertawakannya pula Ajayi berkata, dia tidak mahu memberi perhatian terhadap pandangan negatif mereka.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top