Beberapa doktor verterinar terpaksa mengeluarkan 71 kilogram sampah termasuk plastik dari perut seekor lembu bunting dalam kejadian di India.
Kejadian itu sekali gus menunjukkan betapa seriusnya masalah pencemaran dan lembu liar yang berkeliaran di negara terbabit.
Dikatakan terdapat lima juta lembu berkeliaran di seluruh bandar di India dan kebanyakannya memakan apa saja yang ditemui termasuk sisa plastik.
Lembu bunting terbabit diselamatkan oleh kumpulan aktivis haiwan selepas dilanggar kenderaan dalam kejadian Februari lalu.
Doktor verterinar bagaimanapun mendapati lembu tersebut berada dalam keadaan agak teruk.
Menerusi pembedahan selama empat jam, mereka menemui pelbagai sampah dalam perutnya seperti plastik, kuku dan batu, kata presiden kumpulan aktivis itu, Ravi Dubay.
Mereka juga cuba menyambut kelahiran anak lembu itu namun ia mati manakala ibunya mati tiga hari kemudian.
“Sepanjang 13 tahun pengalaman saya, ini adalah sampah paling banyak yang pernah dikeluarkan dari perut seekor lembu.
“Kami terpaksa menggunakan segala kekuatan yang ada untuk mengeluarkannya,” kata Dubay kepada AFP.
Sebelum ini, pembedahan sama pernah dilakukan oleh kumpulan berpangkalan di Haryana itu dengan mengeluarkan 50 kilogram sampah dari perut lembu.
“Lembu dianggap suci tetapi tiada siapa yang mempedulikannya. Mereka memakan apa saja sampah yang ditemui,” kata Dubay.