SELINGAN: Diikat Pada Pokok Kerana Keluar Beli Rokok Ketika Perintah Kawalan

beli-rokok-ikat-pokok-ohsem-screengrab-video-220121-1.jpg
Kongsi Bersama

Seorang lelaki warga emas di China diikat pada sebatang pokok dan dimalukan di khalayak ramai kerana keluar dari rumah ketika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan pesara itu diikat pada pokok menggunakan tali oleh seorang pegawai masyarakat, yang turut memarahinya kerana keluar dari rumah ketika perintah kawalan pergerakan sedang dijalankan, lapor Daily Mail.

Dalam rakaman video itu juga, pegawai berkenaan didengar mengarahkan rakannya supaya mengikat lelaki itu dengan ketat dipercayai sebagai hukuman kerana melanggar arahan kuarantin.

Kejadian dilaporkan berlaku pada Selasa minggu lepas di Gaocheng, Shijiazhuang. Shijiazhuang, ibu negeri wilayah Hebei yang memerangi penularan baru Covid-19 sejak awal bulan ini.

Pada 8 Jan lalu bandar itu mengeluarkan arahan melarang kesemua 11 juta penduduknya daripada meninggalkan kediaman mereka melainkan terpaksa selepas lonjakan jangkitan memuncak.

Malah, bandar Gaocheng juga dalam proses membina kem kuarantin besar untuk memuatkan ribuan pembawa virus berkenaan dalam usaha mengekang wabak berkenaan.

Sementara itu, globaltimes.cn melaporkan lelaki yang dinamakan sebagai Cao itu hanya keluar untuk membeli rokok ketika ditahan.

Pihak berkuasa sudah menjalankan siasatan, dan pegawai terbabit dilaporkan telah digantung tugas sementara.

Pegawai dari Gaocheng mengesahkan kesahihan rakaman berkenaan kepada wartawan. Jurucakap Pentadbiran Siber Gaocheng turut mengesahkan kepada Xuanwo Video kejadian itu berlaku, namun enggan mengulas lanjut.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top