Selesaikan Segera Pertikaian Tanah Antara SFI Dengan Penduduk Tenom, Sipitang Dan Kemabong

rubin-balang.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mesti menyelesaikan segera pertikaian tanah konsesi perhutanan Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) membabitkan dua daerah dan sebuah daerah kecil negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang (gambar), berkata penyelesaian itu perlu memandangkan penduduk di ketiga-tiga kawasan terbabit, iaitu Tenom, Sipitang dan daerah kecil Kemabong sudah lama berdepan dengan isu berkenaan.

Katanya, kerajaan baharu diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mengambil tindakan menyelesaikan masalah dihadapi penduduk kawasan berkenaan yang mewarisi tanah terbabit daripada nenek moyang mereka.

“Saya ingin menarik perhatian kerajaan supaya mengambil tindakan untuk menyelesaikan sepenuhnya masalah pertikaian kawasan tanah di antara penduduk kampung yang menduduki tanah warisan peninggalan nenek moyang dengan SFI.

“Syarikat itu yang ditubuhkan pada 1982 menimbulkan banyak persengketaan dengan rakyat setempat,” katanya ketika membahaskan belanjawan negeri 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Isnin.

SFI ialah syarikat yang ditubuhkan kerajaan negeri sebelum dijual kepada beberapa syarikat perladangan hutan untuk kilang kertas dan pulpa yang beroperasi di Sipitang.

Kilang kertas SFI pernah menjadi antara pengeluar kertas dan pulpa terbesar di Malaysia sebelum syarikat yang mengambil alih operasinya dilaporkan berdepan masalah dan kerugian sejak beberapa tahun lalu.

Rubin yang juga ADUN Bebas mesra kerajaan GRS, berkata konsesi SFI seluas 2,913 hektar yang terkandung dalam pertikaian itu menyebabkan masyarakat Murut dan sebahagian masyarakat Lundayeh di ketiga-tiga kawasan kehilangan tanah peninggalan nenek moyang mereka.

Bagi kawasan Kemabong yang diwakilinya, Rubin berkata, 12 kampung berdepan isu pertikaian dengan SFI iaitu Marais, Lohot Sosopon, Lalang, Malutut, Alutok, Kaang, Magunsop, Tinura, Tilis, Sumambu, Kapulu dan Ripanon.

“Di Tenom, ada tiga kampung yang terbabit iaitu Pangi, Motolop dan Pasikan, manakala di Sipitang sebanyak 14 kampung iaitu Solob, Pakiak, Pengarawan, Kelangsat, Iteh, Muaya, Kebawang, Menolong, Bol, Maligan, Eburu, Long Mio, Long Pa Sia dan Tunas Baru.

“Sebagai makluman, penduduk di kawasan terbabit mula bermastautin sejak tahun 1950-an sehinggalah sekarang. Sebahagian mereka mempunyai perkampungan, ada juga sekolah, tanaman pertanian dan sebagainya.

“Kawasan yang lain pula peninggalan nenek moyang mereka sejak tahun 1700 lagi. Sehingga ke hari ini, 95 peratus daripada penduduk di kawasan terbabit menjalankan aktiviti pertanian dan bercucuk tanam untuk menyara hidup mereka,” katanya.

Rubin berkata, beliau memohon supaya kerajaan mengeluarkan kawasan tanah penduduk kampung yang terkandung dalam konsesi SFI dengan segera, sebelum syarikat tertentu mengambil alih konsesi SFI.

Berdasarkan laporan sebelum ini, secara keseluruhan, SFI memiliki konsesi perhutanan yang ditanam dengan pokok akasia dan eucalyptus seluas kira-kira 50,000 hektar.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top