Selesaikan isu saliran, perparitan sebelum salur bantuan padi – Pesawah Sabah

pesawah.jpg

Pesawah di Kota Belud, Jelapang Padi negeri Sabah berdepan masalah sistem perparitan dan saliran yang berlarutan sekian lama. (Gambar hiasan)

Kongsi Bersama

KOTA BELUD: Pesawah di jelapang padi di sini meminta supaya kerajaan menyelesaikan isu sistem saliran dan perparitan di kawasan mereka sebelum menyalurkan sebarang bantuan pemerkasaan penanaman padi.

Pesawah di jelapang padi seluas 7,000 hektar itu menyatakan masalah sistem saliran dan perparitan yang berlarutan sekian lama menyebabkan kawasan berkenaan sering kali dilanda banjir manakala ketika di luar musim hujan, sawah menjadi kering kerana air tidak dapat disalurkan ke situ.

Seorang pesawah di Kampung Tampasuk 1 Johneysius Sinson, 41, berkata pada tahun ini dia berhasrat untuk menanam padi di sawahnya seluas 2.02 hektar di jelapang itu, namun bimbang tanaman berkenaan kelak rosak seperti sebelum ini disebabkan masalah itu.

“Sudah dua tahun saya tidak tanam padi kerana tanaman sebelum ini sering kali rosak akibat banjir. Kita penat bekerja tetapi akhirnya kita sendiri yang rugi.

“Sepatutnya padi boleh ditanam dua kali setahun, tetapi disebabkan cuaca yang tidak menentu… nak tanam sekali setahun pun susah, harap kerajaan dapat bantu untuk saya cuba tanam tahun ini,” katanya yang ditemui di sawahnya.

Johneysius berpendapat masalah banjir di jelapang padi itu dapat dikurangkan sekiranya penyelenggaraan sungai dan sistem pengairan sawah dapat dilaksanakan dengan baik, justeru kerajaan diharap dapat menyalurkan bantuan untuk penyelenggaraan infrastruktur sawah terlebih dahulu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada Selasa lepas dilaporkan berkata inisiatif “Gelombang Padi” digerakkan tahun ini bagi mengangkat industri padi dan beras negara ke tahap lebih cekap dan berdaya tahan.

Selain memperkenalkan dasar baharu Insentif Benih Padi Sah (IBPS), inisiatif itu turut meliputi memulih dan membangunkan kawasan tanah jerlus, memperkasakan pembekalan input pertanian serta memperkasakan penanaman padi bukit dan padi huma di Sabah dan Sarawak dengan menyediakan peruntukan bagi pembekalan input pertanian.

Seorang lagi pesawah di Kampung Tampasuk 2, Main Gandilau, 63, berkata dia mengusahakan sawah seluas 3.23 hektar di jelapang itu, namun setiap kali banjir melanda akibat kegagalan sistem saliran dan perparitan, padi ditanamnya rosak sekali gus menyebabkan kerugian besar kepadanya.

“Bila banjir, hanya tiga ekar (1.21 hektar) kawasan tanaman dapat dituai dengan sempurna, memang rugi besar kerana satu ekar selalunya saya dapat tuai 2,500 kilogram padi. Bila tanam penuh (3.23 hektar) tetapi lima ekar kawasan tidak dapat dituai, saya rugi sampai 12,500 kilogram,” katanya.

Menurut Main, meskipun terdapat bantuan diberikan oleh kerajaan, namun ia tidak dapat mengatasi isu berkenaan dengan berkesan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tambatuon Wolbote@Bott Saringan, 50, berkata sistem pengairan utama ke sawah di kampung berkenaan kerap kali rosak apabila berlaku banjir besar.

“Hal ini mengakibatkan tanaman padi tidak ada sumber air hingga menyebabkan tanaman rosak. Apabila sistem pengairan utama berkenaan rosak, penduduk kampung akan bergotong-royong melakukan pembaikian, namun kerosakan akan berulang setiap kali berlakunya banjir,” katanya.

Wolbote berharap kerajaan dapat menyalurkan peruntukan untuk membina sistem saliran dan perparitan konkrit kerana ia tidak mudah rosak.

Beliau berkata Kampung Tambatuon mempunyai kawasan penanaman padi seluas 20.2 hektar dan merupakan satu-satunya pengeluar beras organik atau beras wangi keladi yang bernilai tinggi.

“Pada masa ini tanaman padi hanya dapat diusahakan sekali setahun, jika sistem pengairan diselesaikan dengan baik sebelum memberikan apa-apa bantuan tanaman padi, saya percaya padi dapat ditanam dua kali setahun,” katanya.

Pada 2020 pesawah di jelapang padi Kota Belud kerugian kira-kira RM29 juta apabila hampir keseluruhan kawasan tanaman seluas kira-kira 7,000 hektar itu terjejas teruk akibat banjir.- BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top