Selesaikan isu aerotrain di KLIA: Chin

chin-su-phin.jpeg

Datuk Chin Su Phin (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kementerian Pengangkutan diseru untuk segera menyelesaikan isu mengenai perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi atau aerotrain di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin berkata, KLIA dikritik hebat sebelum ini khususnya pada 1 Mac 2023 apabila seramai 114 penumpang menggunakan payung dan menarik beg bagasi masing-masing sejauh 1.5 kilometer di laluan yang menghubungkan bangunan utama di lapangan terbang berkenaan.

“Perkara itu tular dalam media sosial apabila perkhidmatan aerotrain gagal berfungsi ketika waktu hujan.

“Walaupun pihak berkenaan menghantar aerotrain yang kedua bagi menyelesaikan perkara itu tetapi kemudahan itu juga rosak tiba-tiba,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan 10 penumpang terlepas penerbangan dan pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) terpaksa menyediakan penerbangan lain untuk penumpang berkenaan bagi meneruskan perjalanan.

Menurutnya, kejadian 1 Mac itu bukan pertama kali berlaku, sebaliknya perkhidmatan yang bermula pada Jun 1987 turut mengalami masalah dan kemudahan itu dihentikan sementara dari November 2010 sehingga Mac 2011 untuk kerja-kerja naik taraf.

Chin berkata, kejadian 1 Mac lalu menyebabkan MAHB menamatkan kontrak pihak yang dipertanggungjawabkan melaksanakan operasi aerotrain.

“Pihak berkenaan dianugerahkan projek berkenaan untuk menaik taraf segala aspek dalam perkhidmatan itu.

“Berdasarkan jadual projek berkenaan, menjelang Mac 2025, KLIA akan mempunyai tiga aerotrain baharu di landasan yang turut dinaik taraf.

“Bagaimanapun, kejadian 1 Mac lalu menyebab perkhidmatan itu terjejas,” katanya.

Pada ketika ini katanya, MAHB terpaksa menggunakan bas untuk membawa penumpang diantara bangunan utama KLIA dan terminal satellite.

Chin berkata, keadaan itu memberikan gambaran negatif kepada Malaysia kerana terminal satellite menerima penerbangan antarabangsa dalam jumlah besar setiap hari.

“Bayangkan pelancong asing tiba di bangunan satellite KLIA yang merupakan kemudahan kelas pertama, tetapi selepas keluar dari bangunan itu, mereka menggunakan bas untuk sampai ke kawasan pemeriksaan Imigresen dan kemudian mengambil beg bagasi masing-masing.

“Isu perkhidmatan aerotrain mempunyai impak besar terhadap KLIA,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan menyelesaikan isu itu secepat mungkin agar negara ini tidak dijadikan bahan jenaka daripada masyarakat antarabangsa. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top